Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencederakan isterinya serta mengugut isteri dan anak sulung mereka akibat cemburu.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Terrence Kassum, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama, manakala masing-masing 12 bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak, tetapi berasingan dengan hukuman bagi pertuduhan ketiga, menjadikan jumlah tempoh penjara yang perlu dijalani tertuduh ialah 24 bulan.
Bagi pertuduhan pertama, Terrence didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, berusia 28 tahun, pada jam 2 pagi, 5 Jun lalu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pulutan, Manggatal.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dengan mengeluarkan kata-kata ugutan hendak menyebabkan kematian pada masa dan lokasi yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duannya dan jika ugutan adalah hendak menyebabkan kematian atau kecederaan parah boleh dipenjarakan sehingga tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Terrence melakukan ugutan jenayah yang sama terhadap anak perempuannya berusia 12 tahun pada masa dan tempat yang sama.
Mengikut fakta kes, kejadian berpunca daripada perasaan cemburu selepas tertuduh menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Tertuduh memaksa mangsa mengakui tuduhan tersebut dan mengugut mahu membunuh keempat-empat anak mereka serta membunuh dirinya sendiri jika mangsa enggan berbuat demikian.
Dia kemudian mengambil pisau sayur dan meletakkannya di leher anak sulung pasangan itu sehingga menyebabkan anak-anak mereka menangis ketakutan.
Tertuduh turut cuba memaksa anak-anak meminum racun yang dipegangnya. Ketika mangsa cuba menghalang perbuatan itu, tertuduh bertindak ganas dengan cuba memasukkan racun ke dalam mulut mangsa, selain menarik rambut dan mengheret mangsa dari ruang tamu ke dalam bilik.
Mahkamah diberitahu mangsa cuba memujuk tertuduh supaya tidak bertindak sedemikian, namun pertengkaran berterusan apabila tertuduh tidak berpuas hati dengan penjelasan isterinya yang menafikan mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di leher serta lebam pada bahu kanan, kaki kanan dan kepala.
Anak sulung pasangan itu turut mengalami trauma dan ketakutan apabila mengingati kejadian berkenaan.
Siasatan mendapati pasangan itu telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai empat orang anak. Mereka tinggal serumah bersama lapan ahli keluarga termasuk dua anak tiri mangsa.
Bimbang terhadap keselamatan diri dan anak-anaknya, mangsa membuat laporan polis.
Tertuduh ditahan pada jam 1.15 pagi, 6 Jun lalu oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Carmen Khoo, yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Menurutnya, perbuatan tertuduh melampaui batas kerana seorang ayah sepatutnya menjadi pelindung kepada isteri dan anak-anaknya.



