PENAMPANG: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi kritikal selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di bulatan berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.21 pagi itu, kedua-dua mangsa lelaki, masing-masing berusia lingkungan 20-an, merupakan pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi pada jam 4.27 pagi.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah Proton Persona yang terbabas sendiri sebelum terbakar, menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap dan memerlukan bantuan untuk dikeluarkan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang tidak sedarkan diri diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum diserahkan kepada ambulans KKM untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang melibatkan lapan anggota BBP Penampang itu terkawal pada jam 4.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.



