KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen, orang tengah atau pihak ketiga untuk menguruskan sebarang urusan rasmi bagi pihak jabatan itu.
JPN dalam satu kenyataan memaklumkan, semua urusan berkaitan perkhidmatan jabatan hendaklah dilakukan sendiri oleh pemohon melalui saluran rasmi yang telah ditetapkan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana individu atau pihak yang menawarkan bantuan untuk menguruskan urusan JPN dengan mengenakan bayaran tertentu, khususnya bayaran yang tidak munasabah,” menurut kenyataan itu di sini.
Menurut JPN, tindakan mendapatkan khidmat daripada pihak yang tidak sah boleh menyebabkan orang ramai terdedah kepada risiko penipuan selain kemungkinan kehilangan wang atau penyalahgunaan maklumat peribadi.
Sehubungan itu, JPN meminta pemohon hadir sendiri ke pejabat JPN bagi mendapatkan perkhidmatan serta membuat urusan berkaitan dokumen dan pendaftaran.
JPN turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat melalui platform rasmi jabatan dan tidak bergantung kepada sumber tidak disahkan.
Kerjasama orang ramai amat penting dalam membantu membanteras kegiatan penipuan yang menggunakan nama JPN serta memastikan semua urusan dilaksanakan secara telus, selamat dan mengikut prosedur ditetapkan.



