KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, khususnya kes yang melibatkan isu keselamatan.
Tindakan tegas juga akan terus diambil terhadap individu atau pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan.
Terdahulu, seramai 86 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar daerah Kota Kinabalu pada 10 Jun lalu.
Operasi yang dijalankan susulan aduan awam itu melibatkan 24 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah.
Daripada 125 individu yang diperiksa, seramai 86 warga asing terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah atau pas yang sah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


