HomeUtamaSabah Southern MADANI Link perkukuh bekalan elektrik, pacu ekonomi negeri

Sabah Southern MADANI Link perkukuh bekalan elektrik, pacu ekonomi negeri

Read Time:2 Minute, 42 Second

SIPITANG: Projek Sabah Southern MADANI Link yang dilancarkan hari ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah menerusi penyediaan sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, kukuh dan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek yang sekian lama dinantikan rakyat Sabah itu bukan sekadar infrastruktur penghantaran elektrik, malah merupakan pelaburan strategik yang akan memberi impak besar terhadap kestabilan dan kemampanan tenaga negeri.

Menurutnya, projek berkenaan akan memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik Sabah, meningkatkan kestabilan sistem grid serta mengurangkan risiko gangguan bekalan yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Projek ini amat penting untuk membawa Sabah ke fasa pembangunan seterusnya apabila pelbagai sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden, pusat data digital serta industri berasaskan teknologi dapat menikmati bekalan tenaga yang stabil, mencukupi dan berkualiti.

“Pembangunan sektor tenaga bukan lagi sekadar memenuhi keperluan semasa, sebaliknya menjadi asas kepada perancangan masa depan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, kelulusan projek oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam menyokong agenda pembangunan Sabah, khususnya melalui penyediaan infrastruktur tenaga yang lebih berdaya tahan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, pelaksanaan projek itu turut mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah memiliki sistem bekalan elektrik yang lebih stabil dan berkualiti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan Negeri telah menetapkan hala tuju pembangunan sektor tenaga menerusi Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP) 2040 yang berteraskan tiga fokus utama, iaitu keselamatan tenaga, akses tenaga yang saksama dan kemampanan tenaga.

Menurutnya, pelan itu menjadi panduan utama bagi memastikan bekalan tenaga bukan sahaja mencukupi untuk keperluan semasa, malah mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang.

Beliau berkata, pembangunan tenaga boleh diperbaharui akan terus dipergiatkan memandangkan Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau di Pulau Borneo.

“Dengan sumber hidro yang melimpah, kadar sinaran suria yang tinggi sepanjang tahun serta potensi biojisim yang luas, Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembangunan tenaga bersih di rantau ini.

“Potensi ini bukan sahaja mampu menarik pelaburan bernilai tinggi, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, infrastruktur tenaga yang kukuh amat penting bagi menyokong pembangunan kawasan perindustrian strategik seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu serta pelbagai hab pertumbuhan ekonomi yang sedang dirancang di seluruh negeri.

Katanya, semua kawasan berkenaan memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi bagi menyokong aktiviti industri serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Projek Sabah Southern MADANI Link bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik antara wilayah, malah menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk mengintegrasikan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan terhadap pelaksanaan projek berkenaan serta kepada semua pihak yang menjayakan usaha itu.

“Semoga projek ini menjadi asas kepada masa depan Sabah yang lebih gemilang dengan bekalan tenaga yang stabil, ekonomi yang terus berkembang dan kemajuan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PUSPANITA KPDN, KDN santuni mahasiswa UiTM Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular