KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah agar menerajui inovasi serta mempercepatkan penerapan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) bagi memperkukuh kedudukan Sabah dalam ekonomi masa depan.
Beliau berkata, usaha itu perlu memberi tumpuan kepada pembangunan kejuruteraan digital, infrastruktur pintar dan teknologi hijau, sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri.
“Menerusi profesionalisme dan integriti, IEM Sabah akan mengangkat martabat jurutera sebagai tonggak masyarakat yang dipercayai. Ini bukan sekadar kerjasama, tetapi satu misi bersama untuk membina masa depan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-51 IEM Sabah di Magellan Sutera, di sini, pada Sabtu.
Hajiji berkata, IEM Sabah perlu memainkan peranan lebih aktif dalam bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan standard tertinggi dalam aspek kualiti projek, keselamatan dan kemampanan.
Menurutnya, usaha itu termasuk mempercepatkan pembangunan jurutera tempatan ke arah memperoleh status Jurutera Profesional (PE) serta membina tenaga kerja kejuruteraan yang kukuh dan berdikari untuk Sabah.
“Jurutera hari ini bukan sahaja pembina negara, tetapi juga arkitek penyelesaian dan rakan strategik dalam tadbir urus,” katanya.
Beliau berkata, menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), kerajaan telah menetapkan agenda pembangunan yang berani dan transformatif dengan keutamaan kepada pengukuhan infrastruktur, pertumbuhan industri dan ekonomi, pengurusan sumber secara mampan serta pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
“Kita tidak mampu mencapainya bersendirian. Kerjasama dan usaha anda semua amat penting untuk merealisasikan agenda ini demi kebaikan negeri dan rakyat,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri melihat IEM Sabah bukan sekadar sebuah badan profesional, tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.
“Pada masa hadapan, kerjasama ini perlu diperkukuhkan dengan matlamat dan impak yang lebih besar,” katanya.
Beliau berharap IEM Sabah akan terus melahirkan jurutera yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal dan berfikiran jauh, malah berpegang teguh kepada etika, bertanggungjawab secara profesional serta mampu bersaing di peringkat global tanpa mengabaikan keperluan Sabah.
“Ini adalah pelaburan kita untuk generasi muda agar mereka menjadi arkitek kepada fasa pertumbuhan Sabah yang seterusnya,” katanya.



