RANAU: Yayasan Usaha Maju (YUM) telah menyalurkan pinjaman kumulatif berjumlah RM886.2 juta kepada usahawan di seluruh Sabah sehingga 31 Mei 2026, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai antara pemacu utama pembangunan ekonomi rakyat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pada tahun 2025 sahaja, YUM mencatat rekod pengeluaran pinjaman tertinggi dalam sejarah penubuhannya apabila menyalurkan pembiayaan sebanyak RM76.5 juta kepada 10,833 peminjam di seluruh Sabah.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keberkesanan program yang dilaksanakan, malah menunjukkan tahap keyakinan masyarakat yang semakin tinggi terhadap peranan dan kredibiliti YUM sebagai rakan strategik dalam pembangunan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Johari Suhaimin, sempena Majlis Sambutan Hari Keluarga Ahli Yayasan Usaha Maju (YUM) Cawangan Ranau 2026 di Dewan Masyarakat Ranau, pada Sabtu.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kapasiti YUM menerusi pelbagai bentuk sokongan kewangan termasuk peruntukan RM12.12 juta dalam Belanjawan Sabah 2026 bagi memperkasakan Program Kredit Mikro YUM serta meningkatkan infrastruktur teknologi maklumat agensi itu.
Menurutnya, YUM turut mencatat prestasi bayaran balik pinjaman yang cemerlang dengan kadar 99.13 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2025, hasil disiplin tinggi peminjam serta sistem pemantauan dan bimbingan yang berkesan.
Beliau berkata, lebih 20 peratus peserta yang sebelum ini berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) berjaya keluar daripada kemiskinan menerusi penyertaan dalam program kredit mikro YUM.
Sementara itu, Johari berkata, di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, Kerajaan Negeri terus meletakkan agenda pembangunan keusahawanan, pembasmian kemiskinan dan peningkatan sosioekonomi masyarakat di bandar serta luar bandar sebagai teras utama pembangunan negeri.
Beliau menyeru masyarakat supaya terus menyokong produk tempatan dengan mengutamakan pembelian barangan keluaran usahawan setempat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Golongan belia perlu merebut peluang dalam bidang keusahawanan yang semakin berkembang termasuk sektor pertanian, pelancongan, perkhidmatan dan ekonomi digital bagi meningkatkan taraf hidup serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Johari turut menggalakkan usahawan memanfaatkan platform media sosial seperti Shopee Live dan TikTok sebagai medium pemasaran yang berkesan untuk memperkukuh jenama, meningkatkan jualan dan memperluaskan pasaran produk.
“Namun, seiring peningkatan penggunaan transaksi tanpa tunai, usahawan perlu sentiasa berwaspada ketika menerima pembayaran melalui QR Pay. Langkah pengesahan transaksi dan semakan penerimaan bayaran hendaklah dilakukan bagi mengelakkan sebarang bentuk penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian kepada peniaga,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Pengarah Urusan YUM, Roseli Sindong; serta tetamu kehormat lain.



