HomeUtamaTiga pusat Tingkatan Enam di Sabah dinobat pusat terbaik Kebangsaan STPM 2025

Tiga pusat Tingkatan Enam di Sabah dinobat pusat terbaik Kebangsaan STPM 2025

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Tiga Pusat Tingkatan Enam di Sabah mencatat kejayaan membanggakan apabila dipilih sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Peringkat Kebangsaan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, pencapaian itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan Tawau, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan Kolej Tingkatan Enam Tawau.

Beliau berkata, SMK Kinabutan, Tawau dinobatkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Kategori Mod 2 dan Mod 3, selain menerima pengiktirafan dalam kategori Lonjakan Prestasi Terbaik.

“Bagi Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan Kolej Tingkatan Enam Tawau masing-masing menerima pengiktirafan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam.

“Selain itu, seorang pelajar dari Sabah turut mencipta kejayaan apabila dipilih sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains Sosial iaitu, Ahmad Mursyied Umair Darwis dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Kota Kinabalu.

“Beliau telah menerima pengiktirafan itu termasuk anugerah wang tunai RM1,000, plak serta sijil daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Keputusan STPM 2025 di Wisma Pendidikan di sini pada Khamis.

Raisin berkata, seramai 21 calon STPM 2025 mendapat A dalam semua lima mata pelajaran (5A), berbanding hanya tujuh calon pada STPM 2024.

Pelajar mendapat 4A pula katanya menurun sedikit kepada 137 orang pada 2025, berbanding 139 orang pada STPM 2024.

Secara keseluruhan, Raisin berkata seramai 8,296 calon mendaftar untuk menduduki STPM 2025, berbanding 8,356 calon yang mendaftar pada STPM 2024.

“Daripada 8,296 calon yang mendaftar, sebanyak 91.99 peratus atau 7,632 calon telah hadir untuk menduduki peperiksaan STPM 2025 bagi negeri Sabah.

Berdasarkan keputusan STPM 2025, katanya Sabah mencatat PNGK 2.78, berbanding 2.88 bagi PNGK Kebangsaan.

“Seramai 158 calon atau 2.07 peratus calon mendapat PNGK 4.00, iaitu peningkatan seramai 12 calon berbanding 2024.

“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhan didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2025 pada PNGK 3.75 ialah 453 calon atau 5.93 peratus.

“PNGK 3.00 pula menyaksikan seramai 2,411 calon atau 31.59 peratus; PNGK 2.75 ialah 1,120 calon atau 14.67 peratus dan PNGK 2.00 ialah 2,726 calon atau 35.71 peratus,” katanya.

Katanya, peratusan calon STPM 2025 di Sabah yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2024 meningkat, iaitu daripada 98.81 peratus kepada 98.87 peratus atau 7,546 calon pada 2025, dengan peningkatan 0.06 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 99.96 peratus atau 7,629 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025 di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Mahkamah Tetapkan 13 Ogos Dengar Permohonan SPRM Beku Aset Jersey RM5.5...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular