Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah menipu seorang lelaki dalam urusan pembelian sebuah kereta membabitkan wang pendahuluan RM40,000, dua tahun lalu.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Alfred Lazim selepas perbicaraan penuh.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan sebanyak RM40,000 kepada mangsa. Sekiranya gagal berbuat demikian, tertuduh akan menjalani hukuman penjara tambahan selama empat bulan.
Tertuduh tidak dikenakan hukuman sebatan kerana usianya yang telah mencecah 50 tahun.
Dalam penghakimannya, majistret memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, manakala tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam pembelaannya.
Alfred didapati bersalah memperdayakan seorang lelaki yang ketika itu berusia 32 tahun supaya mempercayai bahawa tertuduh merupakan pemilik sebuah kereta jenis Toyota Hilux dan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang pendahuluan pembelian kereta tersebut berjumlah RM40,000.
Kesalahan itu dilakukan pada 24 September 2024 jam lebih kurang 11malam bertempat di sebuah restoran di Kampung Air, dekat sini.
Tertuduh disabitkan salah dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang merupakan seorang penganggur dan tidak diwakili peguam merupakan satu-satunya saksi pembelaan.



