HomeUtamaGRS perkukuh jentera, lantik enam pengerusi zon hadapi PRU

GRS perkukuh jentera, lantik enam pengerusi zon hadapi PRU

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mula memperkemaskan persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan melantik enam pengerusi zon bagi menyelaras gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera di seluruh negeri.

Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang berlangsung di sini, pada Khamis.

Menurutnya, pelantikan pengerusi zon bertujuan melaksanakan naziran serta memantau laporan persiapan parti-parti komponen di setiap kawasan Parlimen mengikut zon yang ditetapkan.

“Walaupun tempoh Parlimen hanya akan berakhir pada penghujung tahun depan, kita di Sabah mesti bersedia lebih awal.

“Perkara yang paling dititikberatkan ialah kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Enam zon yang diwujudkan melibatkan semua kawasan Parlimen di Sabah dengan setiap zon diketuai pemimpin kanan gabungan tersebut.

Hajiji sendiri mengetuai Zon 1 yang merangkumi Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.

Zon 2 yang meliputi Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dipengerusikan Timbalan Pengerusi Parti GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, manakala Zon 3 melibatkan Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang diketuai Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman.

Bagi Zon 4 yang merangkumi Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom, ia dipengerusikan Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Zon 5 melibatkan Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan dipimpin Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, manakala Zon 6 yang merangkumi Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan Semporna diketuai Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah(PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.

Hajiji berkata, semua presiden parti komponen akan memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan jentera di zon masing-masing.

Katanya, matlamat utama GRS adalah memastikan kemenangan besar pada PRU akan datang.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Hajiji berkata GRS akan menggunakan logo gabungan itu dan akan memilih calon yang mempunyai peluang terbaik untuk menang.

“Kita akan cari siapa yang boleh menang. GRS tetap GRS, guna logo GRS,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sasaran kerusi Parlimen, beliau berkata GRS berhasrat bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah selain satu kerusi di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Insya-Allah, 26 termasuk Labuan,” katanya.

Hadir sama pada mesyuarat itu Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali dan ahli-ahli majlis tertinggi GRS lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Mahkamah Tetapkan 13 Ogos Dengar Permohonan SPRM Beku Aset Jersey RM5.5...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular