HomeUtamaInkues Zara: Pendapat pakar bebas, objektif dan tidak memihak

Inkues Zara: Pendapat pakar bebas, objektif dan tidak memihak

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pakar tulisan tangan memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tanggungjawab utamanya sebagai saksi pakar dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir adalah kepada mahkamah.

Dr Linthini Gannetion, 34, berkata tanggungjawab itu mengatasi sebarang kewajipan terhadap pihak yang melantiknya atau peguam yang memberi arahan kepadanya.

“Saya memahami bahawa sebagai saksi pakar, tanggungjawab utama saya adalah kepada Mahkamah, dan tanggungjawab ini mengatasi sebarang kewajipan terhadap pihak yang melantik saya atau peguam yang memberi arahan kepada saya,” katanya dalam kenyataan bertulis.

Linthini merupakan saksi pakar yang dipanggil oleh pasukan guaman ibu Zara untuk memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi ke-74.

Beliau berkata fakta yang dinyatakan dalam kenyataan bertulisnya, setakat yang berada dalam pengetahuannya sendiri, dipercayainya sebagai benar.

Tambahnya, perkara yang dinyatakan sebagai pendapat pakar pula mewakili pendapat profesionalnya yang benar, lengkap, bebas, objektif dan tidak memihak.

Beliau turut mengesahkan bahawa beliau telah mematuhi tanggungjawabnya sebagai saksi pakar dan bahawa kenyataan tersebut disediakan bagi membantu mahkamah dalam inkues berkenaan.

“Semua perkara yang dinyatakan dalam kenyataan bertulis ini adalah berdasarkan pemeriksaan yang saya jalankan, laporan yang saya sediakan, bahan yang diberikan kepada saya, serta pengetahuan dan kepakaran profesional saya dalam pemeriksaan dokumen forensik dan pemeriksaan tulisan tangan,” katanya.

Bagaimanapun, Linthini menegaskan bahawa pendapat beliau adalah terhad kepada dokumen yang dikemukakan untuk pemeriksaan, kaedah yang dapat dijalankan, serta batasan saintifik yang dinyatakan dalam laporannya.

“Pemeriksaan saya juga tertakluk kepada batasan bahawa tidak semua pemeriksaan makmal secara menyeluruh dapat dijalankan kerana bahan bukti tidak dapat dibawa ke makmal untuk analisis yang lebih komprehensif,” katanya.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025.

Kematiannya, yang didakwa melibatkan unsur buli, mencetuskan gesaan di seluruh negara supaya langkah pencegahan buli diperkukuh dan akauntabiliti dipertingkatkan.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.

Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

RELATED ARTICLES
Utama

Padah sewakan kad ATM, penganggur didenda RM10,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular