KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila tersenarai dalam kelompok 301 hingga 400 universiti terbaik dunia dalam ‘Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2026’
Ia adalah bagi menilai sumbangan institusi pengajian tinggi terhadap pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam melaksanakan pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi, inovasi, pemindahan ilmu serta penglibatan komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat dan menyokong agenda pembangunan mampan global.
“Pencapaian ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan warga UMS dalam memastikan pendidikan, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat dapat memberikan impak yang bermakna kepada kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
“Kejayaan ini juga membuktikan UMS mampu berdiri sebaris dengan universiti terkemuka dunia dalam menyumbang kepada agenda pembangunan mampan,” katanya.
Beliau berkata, antara pencapaian paling membanggakan ialah kedudukan ke-44 dunia bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan (No Poverty), sekali gus meletakkan UMS dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia bagi usaha menangani kemiskinan dan memperkasakan komuniti.
UMS turut mencatat kedudukan ke-59 dunia bagi SDG 2: Sifar Kelaparan (Zero Hunger), sekali gus menempatkan universiti itu dalam kelompok 60 terbaik dunia dalam bidang keterjaminan makanan, pertanian lestari dan pemakanan.
Selain itu, UMS berada dalam kelompok 101 hingga 200 universiti terbaik dunia bagi beberapa SDG utama, iaitu SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (Good Health and Well-being), SDG 4: Pendidikan Berkualiti (Quality Education), SDG 5: Kesaksamaan Gender (Gender Equality), SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi (Clean Water and Sanitation), SDG 7: Tenaga Bersih dan Mampu Milik (Affordable and Clean Energy), SDG 14: Kehidupan di Bawah Air (Life Below Water) serta SDG 17: Perkongsian demi Matlamat (Partnerships for the Goals).
Pencapaian itu memperkukuhkan kedudukan UMS sebagai “The Brain of Borneo” yang memainkan peranan penting dalam memajukan bidang biodiversiti tropika, kesihatan awam, keterjaminan makanan, pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
UMS akan terus memperkasakan agenda pembangunan mampan menerusi pendidikan, penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik bagi memastikan universiti itu kekal relevan serta memberi impak signifikan kepada Sabah, Malaysia dan masyarakat global.



