PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membuka ruang permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) mulai 1 Julai 2026 bagi syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang masih belum menerima fleet card.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemudahan itu disediakan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.
Menurut beliau, penggunaan fleet card di bawah SKDS adalah mekanisme utama untuk membolehkan syarikat yang layak terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan.
“Kerajaan mengambil maklum bahawa proses pengeluaran dan penghantaran fleet card oleh syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses semakan dan pengurusan dalaman syarikat masing-masing.
“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju membenarkan syarikat yang layak membuat tuntutan perbezaan harga diesel yang dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu fleet card diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat awam di Sabah, Sarawak dan Labuan telah dibuka sejak 10 Jun 2024, manakala pendaftaran bagi sektor pengangkutan darat barangan mula dibuka pada 4 Mei 2026.
Sehingga 22 Jun 2026, sebanyak 8,445 syarikat dengan 30,557 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS.
Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 4,062 syarikat melibatkan 14,750 kenderaan, diikuti Sarawak dengan 4,108 syarikat dan 15,030 kenderaan, manakala Labuan mencatatkan 275 syarikat melibatkan 777 kenderaan.
Armizan berkata, syarikat yang ingin menikmati subsidi diesel perlu melalui dua proses utama iaitu mendaftar melalui portal MySubsidi dan seterusnya menggunakan surat kelulusan yang diterima untuk memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan.
Katanya, tuntutan bayaran balik tunai diesel hanya terbuka kepada pemohon SKDS bagi sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang telah mendaftar serta memohon fleet card sebelum atau pada 30 Jun 2026.
“Bayaran balik ini meliputi pembelian diesel bermula 1 Julai hingga 31 Julai 2026 atau sehingga tarikh fleet card diterima, yang mana lebih awal.
“Permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi dan semua tuntutan mestilah disertakan dengan resit pembelian diesel yang dimuat naik ke dalam sistem,” katanya.
Menurut beliau, pembayaran balik akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai dilakukan oleh pentadbir SKDS di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau turut menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak supaya segera mendaftar di bawah SKDS serta mengemukakan permohonan fleet card bagi memastikan mereka terus menikmati diesel bersubsidi tanpa sebarang gangguan.
“Semakin awal pendaftaran dibuat, semakin cepat proses pengeluaran fleet card dapat diselesaikan sekali gus memastikan syarikat terus menerima manfaat subsidi diesel yang disediakan kerajaan,” katanya.



