HomeUtamaOps Tiris 4.0 : Lelaki tempatan ditahan, disyaki miliki petrol dan diesel...

Ops Tiris 4.0 : Lelaki tempatan ditahan, disyaki miliki petrol dan diesel tanpa permit sah

Read Time:1 Minute, 41 Second

SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memiliki petrol dan diesel tanpa permit yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di hadapan Jeti Umum Semporna baru-baru ini.

Penahanan itu dibuat hasil tindakan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak sebelum kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk siasatan lanjut.

KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, kes tersebut diterima pada 23 Jun lalu dan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Operasi itu turut merampas 310 liter minyak petrol dan 400 liter minyak diesel yang dipercayai dimiliki tanpa permit yang sah.

Selain bahan api, sebuah bot fiber bersama enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (HP), dua unit bateri, satu set sistem pendikit (throttle), sebuah kereta sorong serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut turut dirampas.

“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan sebanyak RM2,082.70, manakala keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan bernilai RM30,365.40.

“Berikutan itu, satu kertas siasatan telah dibuka bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu di sini.

Sementara itu, menurut KPDN, kes itu merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), yang dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah Semporna dan kawasan perairan sekitarnya.

KPDN menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan usaha kerajaan memastikan bekalan bersubsidi sampai kepada golongan yang layak.

Individu yang didapati bersalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat yang disabitkan kesalahan pula, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan.

KPDN turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi yang disediakan bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Jamawi gesa PIBG, sekolah perhebat kempen anti buli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular