TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah mempergiatkan usaha kesedaran bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar susulan insiden membabitkan seorang murid perempuan di sebuah asrama sekolah di daerah ini.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan gambar atau video kejadian yang kini sedang disiasat polis, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati permintaan ahli keluarga mangsa dan para pelajar agar rakaman kejadian itu tidak terus disebarkan di media sosial.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak menularkan gambar dan video tersebut,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Jamawi berkata, kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan budaya buli dapat dibendung dan tidak berulang di sekolah.
“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran ‘Elakkan Buli’ di sekolah masing-masing.
“Semoga ia menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah itu sebagaimana yang tular di media sosial.
Beliau berkata, susulan laporan yang diterima pada 23 Jun lalu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di sebuah asrama sekolah di daerah ini.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, setakat ini tiga individu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video kejadian.
Beliau berkata, beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan.
Azmir menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan terhadap kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur.



