KOTA KINABALU: Pasukan futsal Sabah menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.
Ketua Jurulatih Futsal SUKMA Sabah, Azman Soaibah berkata, pasukannya kini berada di landasan tepat dalam persiapan menghadapi temasya berprestij itu dengan sasaran sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir.
Beliau berkata, persiapan rapi telah dimulakan sejak April lalu menerusi latihan intensif serta penyertaan dalam kejohanan pendedahan di Johor bagi menguji tahap kemampuan dan keserasian pemain.
“Genap sebulan kita menjalani latihan fizikal dan taktikal bermula dari April hingga Jun. Selepas ini tiada lagi waktu rehat kerana fokus sepenuhnya diberikan kepada persiapan SUKMA.
“Setakat ini tahap kesediaan pasukan berada pada sekitar 70 hingga 75 peratus dan saya yakin pemain akan terus menunjukkan peningkatan menjelang kejohanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara pasukan Futsal SUKMA Sabah dan DMNA FC yang diketuai Ketua Pegawai Operasi Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Nazir Ali, di sini.
Sebagai sebahagian daripada fasa terakhir persiapan, skuad futsal Sabah dijadual mengadakan perlawanan ujian menentang pasukan dari Brunei Darussalam pada Julai depan bagi menilai tahap kesiapsiagaan pasukan sebelum beraksi di Selangor.
Mengulas mengenai pemilihan pemain, Azman berkata proses senarai pendek telah dilaksanakan pada 19 Jun lalu, namun barisan kejurulatihan masih menilai komposisi terbaik pasukan termasuk jumlah penjaga gol yang akan dibawa ke SUKMA.
Katanya, keputusan sama ada membawa dua atau tiga penjaga gol akan dibuat berdasarkan keperluan pasukan serta sebagai langkah menghadapi kemungkinan kecederaan pada saat akhir.
“Saya mahu memastikan pasukan tahun ini tidak hanya bergantung kepada empat atau lima pemain sahaja. Semua pemain yang dibawa mempunyai kualiti tersendiri dan berpeluang untuk diturunkan.
“Kita mahu membentuk sebuah pasukan yang seimbang dengan kekuatan pada setiap posisi bagi meningkatkan peluang mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, kehadiran pihak pengurusan Marmaz Group Holdings Sdn Bhd pada sesi berkenaan dilihat sebagai tanda sokongan berterusan sektor korporat terhadap pembangunan sukan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Jimsbon Unding yang turut hadir memberi sokongan moral kepada pasukan berharap lebih banyak syarikat tempatan tampil membantu pembangunan atlet dan pasukan negeri.
Beliau berkata penglibatan sektor swasta amat penting dalam memperkukuhkan ekosistem sukan Sabah sekali gus membantu melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat lebih tinggi.



