HomeUtamaAnwar: Hubungan Diplomatik Buka Laluan Jaminan Bekalan Gas Dan Bahan Api

Anwar: Hubungan Diplomatik Buka Laluan Jaminan Bekalan Gas Dan Bahan Api

Read Time:2 Minute, 37 Second

MELAKA : Malaysia berjaya memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara untuk jangka panjang menerusi hubungan diplomatik yang erat dengan Rusia dan Turkmenistan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kejayaan itu dicapai hasil pendekatan dasar luar Malaysia yang bebas, berkecuali dan berteraskan kepentingan nasional, sekali gus membolehkan negara memperoleh komitmen strategik dalam sektor minyak dan gas.

Anwar berkata lawatan rasmi beliau ke Turkmenistan baru-baru ini membuahkan hasil apabila negara Asia Tengah itu memberikan kepercayaan kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk terus mengembangkan kerjasama dalam pengurusan sumber gas asli yang strategik.

“Saya tidak jangka keyakinan begitu rupa. Ini bukan untuk generasi saya sahaja, tetapi untuk anak-anak dan cucu-cucu kita kerana jaminan bekalan gas antara yang terbesar di dunia kini melibatkan kepentingan Malaysia,” katanya ketika berucap ketika berucap pada sesi santai mesra bersama warga Perkhidmatan Awam Zon selatan di sini, hari ini

Menurut beliau, kejayaan itu turut didorong oleh rekod prestasi Petronas yang telah beroperasi di Turkmenistan selama lebih tiga dekad.

Anwar berkata Petronas terpaksa bersaing dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa terkemuka seperti TotalEnergies, Shell, Esso dan Mobil bagi mendapatkan hak ke atas blok-blok gas utama di negara berkenaan.

Beliau berkata, ketika perbincangan dengan kepimpinan Turkmenistan, Presiden negara itu menyatakan keyakinan tinggi terhadap Malaysia dan Petronas berdasarkan prestasi cemerlang syarikat nasional itu sepanjang beroperasi di negara berkenaan.

“Beliau menyatakan Malaysia adalah sahabat dan Petronas telah menunjukkan prestasi yang amat baik. Mereka sedang mempertimbangkan secara serius untuk memperkukuhkan lagi hubungan dalam sektor tenaga,” kata Anwar.

Menurut Perdana Menteri, keyakinan tersebut akhirnya membuka laluan kepada kerjasama yang lebih besar melibatkan pembangunan dan pengurusan sumber gas yang strategik untuk kepentingan jangka panjang kedua-dua negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin turut membuka ruang kerjasama lebih luas dalam sektor tenaga.

Menurutnya, Rusia telah memberikan jaminan untuk terus membekalkan petrol, diesel dan gas kepada Malaysia bagi memenuhi keperluan semasa serta jangka panjang negara.

“Presiden Putin memberikan jaminan bahawa Rusia bersedia menjual petrol, diesel dan gas kepada Malaysia untuk tempoh sekarang dan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata jaminan tersebut penting dalam suasana geopolitik global yang semakin mencabar, khususnya berkaitan keselamatan tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa.

Anwar turut menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan dasar luar yang bebas dan berkecuali tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar.

“Kita berkawan dengan semua negara. Kita ada hubungan baik dengan Amerika Syarikat, China dan Rusia berdasarkan kepentingan negara serta manfaat ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata terdapat tekanan daripada beberapa negara Barat supaya Malaysia tidak memperkukuh hubungan dengan Rusia, namun kerajaan memilih untuk mengekalkan pendirian bebas selaras dengan prinsip kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata peningkatan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia turut disokong oleh prestasi ekonomi negara yang semakin baik serta kecekapan sistem perkhidmatan awam.

Katanya, pencapaian Malaysia dalam pelbagai penarafan antarabangsa merupakan hasil usaha bersama penjawat awam, sektor swasta dan kestabilan politik negara.

Malah, beliau berkata keyakinan yang ditunjukkan oleh beberapa negara terhadap keupayaan Malaysia turut diterjemahkan melalui hasrat mereka untuk mempelajari amalan pentadbiran dan pengurusan sektor awam negara.

“Ini bukan kerana Perdana Menteri semata-mata, tetapi kerana kekuatan institusi dan keupayaan penjawat awam yang menggerakkan dasar serta pembangunan negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi terhadap buli, Riduan mahu tindakan tegas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular