Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki penganggur didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyewakan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya kepada orang lain dengan bayaran RM300.
Tertuduh, Tham Yoo Tead, 57, yang membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Monica Linsua akan berdepan satu tahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Tham didakwa secara tidak langsung dan tanpa kuasa yang sah di sisi undang-undang memberikan kawalan terhadap instrumen pembayaran akaun bank miliknya kepada orang lain di Cahaya Arty Enterprise, Sri Putatan Commercial Centre, Putatan antara 2 September hingga 15 September 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang peniaga wanita berusia 48 tahun telah membuat pinjaman wang daripada beberapa individu yang dipercayai menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen (Along) antara Februari hingga September 2025.
Pengadu menerima pinjaman berjumlah RM6,500 dan telah membuat bayaran balik sebanyak RM5,140. Namun, dia terus diganggu serta didesak untuk membuat bayaran tambahan sehingga RM9,160 dalam tempoh yang disifatkan tidak munasabah.
Tindakan individu terbabit bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pengadu, malah menjejaskan ketenteraman hidup dan perniagaannya.
Perbuatan itu menyebabkan pengadu berasa takut, terancam dan tertekan sebelum membuat laporan polis kerana tertekan dengan ancaman pihak Ahlong selain bimbang akan keselamatan diri serta keluarganya.
Bertindak atas maklumat yang diterima, tertuduh ditahan pada 6 Mac lalu.
Hasil siasatan mendapati tertuduh merupakan pemilik akaun bank yang digunakan untuk menerima bayaran daripada pengadu kepada pihak pinjaman wang tanpa lesen terbabit.
Mahkamah turut diberitahu bahawa tertuduh mengaku menerima RM300 sebagai bayaran sewaan kad ATM Bank Islam miliknya.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Tertuduh telah membayar denda.



