HomeUtamaInkues Zara: Sukar tiru tulisan tangan, kata pakar

Inkues Zara: Sukar tiru tulisan tangan, kata pakar

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa meniru tulisan tangan seseorang bukan mustahil, namun sukar dilakukan.

Pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan, Dr Linthini Gannetion, menyatakan perkara itu ketika disoal peguam Joan Goh dalam prosiding inkues Zara Qairina Mahathir di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

“Saya tidak akan mengatakan ia mustahil, tetapi saya lebih cenderung mengatakan ia sukar kerana kelajuan menulis, tekanan pen dan tahap kemahiran semuanya berbeza. Ini kerana ia dilakukan secara sedar, bukannya secara bawah sedar,” katanya.

Linthini bersetuju dengan Joan bahawa meniru tulisan tangan orang lain dalam jumlah yang banyak atau melibatkan banyak halaman adalah sukar.

Beliau turut bersetuju bahawa emosi seseorang ketika menulis boleh mempengaruhi tulisan tangan pada tahap tertentu. Bagaimanapun, beliau berkata beliau bukan pakar grafologi untuk menentukan perkara itu.

Saksi ke-74 inkues itu turut menjelaskan bahawa tiada dua penulis boleh menghasilkan tulisan tangan yang benar-benar sama (identical).

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap sampel tulisan tangan sembilan rakan seasrama Zara mendapati kesemuanya menunjukkan perbezaan ketara apabila dianalisis secara terperinci walaupun mungkin kelihatan serupa pada pandangan kasar.

“Kami mengumpulkan tulisan tangan daripada rakan-rakan seasrama Zara yang mungkin kelihatan sama pada pandangan mata kasar.

“Bagaimanapun, melalui pemeriksaan terperinci, saya mendapati terdapat banyak perbezaan berbanding tulisan tangan Zara.

“Kesemua sembilan penulis yang diperiksa menunjukkan perbezaan yang ketara. Ini membuktikan bahawa Penulis A dan Penulis B tidak boleh menulis dengan cara yang benar-benar sama,” katanya.

Menurut Linthini, setiap individu mempelajari asas tulisan tangan melalui sistem buku contoh yang sama, namun akan membentuk tabiat penulisan tersendiri sepanjang proses perkembangan mereka.

Katanya, ciri-ciri individu itu dapat dilihat menerusi cara pembentukan huruf, rentak penulisan, margin, kekemasan tulisan dan tabiat penulisan yang terbentuk secara bawah sedar.

Beliau berkata pemeriksa dokumen forensik menggunakan kaedah ACE-V iaitu analisis, perbandingan, penilaian dan pengesahan dalam menentukan kepengarangan sesuatu tulisan.

“Pada peringkat analisis, kami perlu mengenal pasti semua ciri berulang dan tabiat bawah sedar yang terdapat dalam tulisan seseorang sebelum membuat perbandingan dengan bahan yang dipersoalkan,” katanya.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.

Kematiannya mencetuskan perhatian meluas di seluruh negara susulan dakwaan bahawa beliau menjadi mangsa buli.

Pada 20 Ogos tahun lalu, lima remaja yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara. Mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan masih berlangsung.

Joan bersama peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili Pelajar A.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi terhadap buli, Riduan mahu tindakan tegas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular