HomeUtamaBekas ketua jurutera JKNS, dua isteri diperintah bela diri kes pengubahan wang...

Bekas ketua jurutera JKNS, dua isteri diperintah bela diri kes pengubahan wang haram

Read Time:2 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Bekas ketua jurutera Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dan dua isterinya yang sebelum ini dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram RM438,850 diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ismail Ahmad, 65, isteri pertamanya Muhilim @ Masniah Buaya @ Buayie, 65, dan isteri keduanya Runtiah Rais, 50.

Beliau memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dari sudut undang-undang dan fakta apabila melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden.

Mahkamah mengarahkan Ismail membela diri terhadap dua pertuduhan bersama masing-masing membabitkan Muhilim dan Runtiah, manakala Runtiah diperintah membela diri terhadap lima pertuduhan lain.

Mahkamah turut memerintahkan supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk peringkat pembelaan.

Ismail dan Muhilim, yang merupakan bekas pegawai kanan sebuah agensi kerajaan, didakwa bersama memiliki RM275,550, manakala Ismail dan Runtiah, bekas kerani JKNS, didakwa bersama memiliki RM133,300.

Runtiah turut berdepan lima pertuduhan memiliki RM30,000.

Semua wang itu didakwa diperoleh daripada aktiviti menyalahi undang-undang antara Julai dan September 2016 di beberapa cawangan bank serta pejabat Pos Malaysia di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu.

Mahkamah Sesyen pada 10 Jun 2021 telah melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan tersebut pada akhir kes pendakwaan.

Sementara itu, Ismail didakwa atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195,000 yang didakwa diperoleh daripada aktiviti menyalahi undang-undang antara Januari hingga 14 Julai 2016 di cawangan Maybank di Kampung Air dan Putatan.

Beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut pada 16 Disember 2022 di akhir kes pembelaan.

Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Ismail, Muhilim dan Runtiah, serta Mahkamah Tinggi sepatutnya campur tangan kerana keputusan itu jelas tidak tepat.

Bagaimanapun, Celestina menangguhkan keputusannya berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap lima pertuduhan yang dihadapi Ismail secara bersendirian sehingga selesai peringkat pembelaan bagi pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen.

Beliau menetapkan 23 Julai untuk e-semakan bagi mendapatkan perkembangan terkini prosiding di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Elsie Primus menetapkan 13 hingga 17 Julai untuk perbicaraan pembelaan.

Elsie membenarkan Ismail diikat jamin RM100,000 manakala Muhilim dan Runtiah masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Beliau turut membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan iaitu pasport ketiga-tiga tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan mereka perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekurang-kurangnya sekali sebulan sehingga kes selesai.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Nurul Izzati Sapifee hadir bagi pihak perayu di Mahkamah Tinggi serta bagi pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen.

Ketiga-tiga mereka diwakili peguam Datuk Rizwandean M. Borhan dan Elhanan James.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi terhadap buli, Riduan mahu tindakan tegas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular