KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu budaya kerja yang membenarkan sesuatu perkara diluluskan tanpa penelitian sewajarnya atau amalan ‘asal lulus’ dalam badan berkanun negeri dan syarikat kerajaan negeri (GLC) dihentikan bagi memastikan tadbir urus organisasi berada pada tahap terbaik.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kegagalan tadbir urus lazimnya tidak bermula dengan satu kesalahan besar, sebaliknya berpunca daripada kelemahan kecil yang dibiarkan berlarutan sehingga menjadi budaya dalam organisasi.
Beliau berkata, antara amalan yang perlu dielakkan ialah kegagalan meneliti dokumen dengan teliti, tidak melaksanakan proses semakan wajar, memandang ringan risiko serta tidak mengisytiharkan konflik kepentingan.
“Kegagalan tadbir urus biasanya tidak bermula dengan satu kesalahan besar. Ia bermula apabila perkara kecil dibiarkan, dokumen tidak dibaca, due diligence tidak dilaksanakan, risiko dipandang ringan, konflik kepentingan tidak diisytiharkan dan budaya ‘asal lulus’ atau ‘jangan persoal’ diterima sebagai kebiasaan.

“Budaya seperti ini mesti dihentikan,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2026 di sini, pada Rabu.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, ahli lembaga pengarah perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai penjaga amanah, tadbir urus, akauntabiliti dan kepercayaan rakyat, bukannya sekadar meluluskan cadangan yang dibawa pihak pengurusan.
Beliau menegaskan bahawa jawatan ahli lembaga pengarah bukan sekadar simbol status atau pengiktirafan, sebaliknya membawa tanggungjawab undang-undang, moral dan fidusiari yang besar, khususnya apabila melibatkan pengurusan sumber serta dana awam.
Katanya, setiap ahli lembaga perlu berpegang kepada dua prinsip utama iaitu duty of care dan duty of loyalty dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Duty of care menuntut setiap keputusan dibuat selepas dokumen diteliti, fakta dan risiko dinilai serta soalan-soalan kritikal dikemukakan.
“Sementara itu, duty of loyalty pula menghendaki kepentingan organisasi diutamakan mengatasi kepentingan individu, termasuk mengisytiharkan sebarang konflik kepentingan yang wujud,” katanya.
Masidi berkata, kerajaan negeri mahu badan berkanun dan GLC menjadi organisasi berprestasi tinggi, berdisiplin dari segi kewangan, ditadbir dengan baik serta mampu menjana nilai kepada negeri.
Beliau menambah bahawa prestasi organisasi tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah mesyuarat, laporan atau program yang dilaksanakan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan impak sebenar terhadap pencapaian mandat organisasi dan manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, pengukuhan tadbir urus yang berasaskan integriti, akauntabiliti dan prestasi adalah penting bagi memastikan badan berkanun serta syarikat kerajaan negeri terus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan kemampanan fiskal Sabah.



