KOTA MARUDU: Seorang wanita cedera parah selepas dipercayai ditetak suaminya dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu di Kampung Mangkupa, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan pada bahagian dagu, leher, kedua-dua tangan dan lutut.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomidin, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum menjalankan siasatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 50 tahun dipercayai cemburu terhadap mangsa dan menuduh isterinya berbual dengan seorang jiran lelaki.
“Semasa kejadian, mangsa keluar ke halaman rumah untuk melihat keadaan di luar sebelum ditegur suspek yang melarangnya berbual dengan jiran lelaki.
“Mangsa menafikan dakwaan itu sehingga berlaku pertengkaran mulut antara mereka,” katanya ketika dihubungi media.
Menurutnya, seorang anak saudara mangsa yang berada di dalam rumah menyaksikan suspek menuju ke dapur mengambil sebilah parang sebelum menghampiri mangsa di hadapan rumah.
“Suspek kemudian merebahkan mangsa dan meletakkan parang pada lehernya.
“Saksi terus masuk ke dalam bilik dan bersembunyi bersama anak-anak mangsa sebelum terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan,” katanya.
Simiun berkata, saksi kemudian mendengar bunyi seseorang berlari ke arah dapur dan membuka pintu belakang rumah sebelum keluar dari bilik.
“Saksi mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah jiran.
“Seorang jiran yang baru pulang dari ladang getah melihat mangsa sebelum menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut di hospital mendapati suspek dipercayai sering menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan jiran-jiran, namun dakwaan itu dinafikan mangsa.
“Mangsa memaklumkan dia bergelut dengan suspek ketika parang diletakkan pada lehernya dan cuba menahan libasan menggunakan kedua-dua tangan sehingga mengalami kecederaan pada tangan, bawah dagu, kening dan lutut.
“Selepas melihat mangsa berlumuran darah, suspek dipercayai panik lalu melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.
Katanya, mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada jiran berhampiran sebelum dihantar ke hospital.
“Suspek yang juga warga Indonesia kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Mangsa kini dilaporkan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.



