Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengalami ‘acute emotional dysregulation’ (gangguan emosi akut) yang mempunyai kaitan rapat dari segi masa dengan kejadian pada 15 Julai, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Pakar Psikiatri Dr Wong Haw Huo berkata tempoh antara konfrontasi pada 15 Julai 2025 dengan kejadian yang berlaku pada awal pagi 16 Julai 2025, apabila Zara ditemui tidak sedarkan diri, mempunyai kepentingan klinikal.
“Bahan yang diteliti mencadangkan bahawa si mati mengalami gangguan emosi akut yang mempunyai kaitan rapat dari segi masa dengan kejadian pada 15 Julai 2025.
“Dalam keadaan sedemikian, pertimbangan, keupayaan membuat refleksi dan kawalan tingkah laku berkemungkinan telah terjejas,” katanya.
Dr Wong berkata rumusan keseluruhan dari sudut psikiatri ialah Zara mengalami tekanan emosi yang terkumpul hasil interaksi antara kerentanan perkembangan, sensitiviti berkaitan ikatan emosi, ciri-ciri berkaitan impulsiviti serta tekanan interpersonal yang semakin memuncak dalam persekitaran sekolah berasrama.
Menurutnya, kerentanan itu berinteraksi dengan salah faham interpersonal yang berulang, khabar angin, pengasingan sosial, konflik dengan rakan sebaya, tuduhan serta pengalaman yang dianggap mengaibkan berkaitan kejadian pada 15 Julai 2025.
Dr Wong berkata bahan yang tersedia juga menunjukkan Zara mempunyai beberapa kekuatan, termasuk penglibatan sosial, keupayaan membuat refleksi, usaha memulihkan hubungan, orientasi terhadap masa depan, mekanisme daya tindak berasaskan agama serta hubungan dengan ibunya yang terus mempunyai kepentingan psikologi.
“Berdasarkan imbangan kebarangkalian, kejadian pada 15 Julai 2025 merupakan tekanan interpersonal akut yang berlaku dalam konteks psikologi yang sememangnya sudah mengalami tekanan emosi.
“Adalah munasabah dari sudut klinikal bahawa pada masa material, si mati mengalami ‘acute emotional dysregulation’ yang dikaitkan dengan penurunan keupayaan membuat refleksi serta keupayaan yang berkurangan untuk menggunakan strategi daya tindak yang bersesuaian secara berkesan,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Wong berkata pendapatnya itu tidak menentukan niat dalaman sebenar Zara pada masa material.
Katanya, disebabkan penilaian itu dibuat secara retrospektif serta ketiadaan pemeriksaan psikiatri secara langsung ketika Zara masih hidup, kesimpulan muktamad mengenai keadaan mental sebenar atau niat khususnya tidak dapat dibuat.
Beliau berkata laporan yang disediakan bersama Pakar Psikiatri Perunding Dr Aili Hanim Hashim itu hanyalah satu rumusan psikiatri dan tidak menentukan kausaliti dari sudut undang-undang, dapatan fakta atau liabiliti.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.
Kematiannya, yang didakwa mempunyai kaitan dengan kejadian buli, mencetuskan desakan di seluruh negara supaya langkah membanteras buli diperkukuh dan akauntabiliti ditingkatkan.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara. Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu masih dalam perbicaraan.



