HomeUtamaOperasi 'Omni Presence' perkukuh penguatkuasaan ESSCOM di Lahad Datu

Operasi ‘Omni Presence’ perkukuh penguatkuasaan ESSCOM di Lahad Datu

Read Time:1 Minute, 37 Second

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuh penguatkuasaan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) menerusi pelaksanaan Operasi ‘Omni Presence’ yang dilaksanakan di sekitar bandar Lahad Datu di sini pada Khamis.

Komander ESSCOM, Datuk Victor B. Sanjos berkata, operasi itu merupakan usaha berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, selain membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), aktiviti ekonomi tidak sah serta memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut dilaksanakan sebagai satu ‘show of force’ bagi menunjukkan ketegasan ESSCOM terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone.

“ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang. Kehadiran anggota keselamatan di lapangan merupakan mesej jelas bahawa penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, operasi itu melibatkan seramai 53 pegawai dan anggota yang menjalankan pemeriksaan di premis-premis perniagaan serta terhadap orang awam di sekitar bandar Lahad Datu.

Sepanjang operasi dijalankan, seramai 342 individu telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang, selain mengesan sebarang elemen yang boleh mengancam keselamatan kawasan ESS Zone.

Dalam operasi sama, pasukan penguat kuasa turut merampas 75 bungkus rokok seludup pelbagai jenis dan 19 kotak mancis Aladdin dengan nilai rampasan dianggarkan RM800.

Victor berkata, Operasi Omni Presence merupakan sebahagian daripada Operasi Sanggah ESSCOM yang dilaksanakan selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk memperkukuh operasi keselamatan sedia ada bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguat kuasa Persekutuan dan negeri.

Katanya, ESSCOM akan terus melaksanakan operasi bersepadu secara konsisten selaras dengan slogan “Tiada Hari Tanpa Operasi” bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan memastikan keamanan serta ketenteraman awam di Sabah Timur terus terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dengan ESSCOM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone bagi membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Luahan marah, kecewa Zara bukan bukti hubungan ibu-anak retak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular