HomeUtamaHayati semangat hijrah, perkukuh pembangunan masyarakat

Hayati semangat hijrah, perkukuh pembangunan masyarakat

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Semangat hijrah perlu terus dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai asas memperkukuh pembangunan masyarakat, mempertingkat integriti serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW bukan sekadar lipatan sejarah, malah menjadi panduan kepada umat Islam untuk melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Menurut beliau, sambutan yang mendapat penyertaan memberangsangkan itu membuktikan kesedaran masyarakat Islam terhadap penghayatan sejarah hijrah terus diperkukuhkan.

“Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa perjuangan dan pengorbanan amat penting dalam mengubah kehidupan daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik. Semangat ini perlu diterapkan dalam kehidupan seharian agar kita menjadi masyarakat yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Perbandaran Tawau di ruang legar Masjid Al-Khautsar, yang dihadiri masyarakat Islam dari seluruh daerah, di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur Sambutan Maal Hijrah Peringkat Perbandaran Tawau di bawah Badan Dakwah Daerah Tawau yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Muhamad Sufian, bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau atas kejayaan menganjurkan program berkenaan.

Mengulas tema sambutan tahun ini, “Madani Dihayati, Umat Diberkati”, Nizam berkata, ia selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai perpaduan, hormat-menghormati, silaturahim serta pembentukan masyarakat berakhlak mulia berteraskan ajaran Rasulullah SAW.

“Kita harus menjaga hubungan sesama manusia, saling menghormati dan mengamalkan sifat-sifat terpuji. Apabila nilai-nilai ini diterapkan dalam kehidupan, Insya-Allah kita bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia, malah kejayaan di akhirat,” ujarnya.

Menurut beliau,, semangat hijrah juga perlu diterjemahkan dalam aspek pembangunan dengan setiap pemimpin masyarakat, penjawat awam dan rakyat melaksanakan amanah serta tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti.

Katanya, penghayatan terhadap nilai hijrah akan memastikan setiap dasar dan perancangan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan sehingga ke peringkat akar umbi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan di Tawau.

Pada majlis itu, Nizam turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Muis Picho sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau kepada masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Luahan marah, kecewa Zara bukan bukti hubungan ibu-anak retak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular