SEMPORNA: Bekalan minyak diesel dan minyak masak paket di sekitar Semporna didapati mencukupi hasil pemantauan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna.
KPDN Sabah berkata, pemeriksaan yang dijalankan pada Jumaat itu melibatkan pasar raya, kedai runcit serta stesen minyak bagi memantau bekalan barangan dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hasil pemantauan mendapati tiada pengisian minyak petrol atau diesel ke dalam gelen tanpa permit. Bekalan minyak diesel adalah mencukupi dan tiada penjualan tanpa lesen dikesan,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan turut mendapati semua premis yang diperiksa mematuhi peraturan, termasuk mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang dan sukat yang sah serta mematuhi harga maksimum minyak masak yang ditetapkan.
“Bekalan minyak masak paket juga mudah diperoleh pengguna di premis yang diperiksa,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan boleh menghubungi KPDN menerusi saluran rasmi kementerian.



