Oleh J Evachel John
SANDAKAN: Amaco, beruang madu tertua di Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC), mati pada usia 33 tahun selepas mengalami masalah kesihatan akibat faktor usia dan penyakit jantung kronik.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Dr Wong Siew Te berkata, Amaco ditemui mati ketika pemeriksaan rutin oleh penjaganya pada pagi Rabu selepas keadaan kesihatannya semakin merosot sejak beberapa minggu lalu.
Menurutnya, Amaco hilang selera makan, semakin lemah dan sukar berdiri, manakala ujian darah menunjukkan fungsi buah pinggangnya semakin merosot selain mengalami anemia.
“Bedah siasat mendapati paru-paru dan hatinya mengalami kesesakan yang teruk, menandakan sistem peredaran darahnya telah terjejas, selaras dengan kemerosotan organ akibat peningkatan usia serta penyakit jantung kronik,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun di sebalik usianya yang panjang, Amaco mempunyai kisah hidup yang menyayat hati.
Siew Te berkata sebelum dipindahkan di BSBCC, Amaco diselamatkan dari sebuah ladang selepas dikurung dalam sangkar kecil selama 18 tahun.
Katanya, pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam terhadap Amaco apabila ia dilihat lebih gemar berada berhampiran sangkar di BSBCC walaupun diberi akses kepada kawasan hutan semula jadi di pusat pemuliharaan berkenaan.
Sebagai beruang madu tertua di BSBCC, Amaco dikenali sebagai beruang yang lembut, berdikari dan memiliki personaliti tersendiri.
“Pada usia 33 tahun, Amaco hidup jauh melebihi purata jangka hayat beruang madu yang tinggal dalam habitat liar.
“Sepanjang berada di BSBCC, ia menjadi antara penghuni paling disayangi kakitangan, sukarelawan serta pengunjung,” katanya.
Siew Te turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong Amaco yang menyertai program pengambilan haiwan angkat BSBCC.
Menurutnya, sokongan itu membolehkan Amaco menikmati penjagaan serta keselesaan sepanjang berada di fasiliti itu.



