KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 memohon kerjasama orang awam untuk membantu mengesan waris kepada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sehingga kini masih belum dituntut di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Pengarah HQE 1 Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis berkata, jenazah berkenaan dikenal pasti sebagai Lai Vui Hiung, 50, seorang warganegara Malaysia berketurunan Cina dan beragama Buddha.
Menurutnya, alamat terakhir mendiang direkodkan di MDLB 918, Lorong 1, Taman Pak Tak, Batu 7, 90702 Sandakan.
Mendiang dilaporkan telah dimasukkan ke Jabatan Perubatan Kecemasan HQE pada 9 Jun 2026 sebelum disahkan meninggal dunia pada 11 Jun 2026 jam 8.21 malam.

Bagaimanapun, sehingga kini jenazah masih belum dituntut oleh mana-mana ahli keluarga atau waris.
HQE turut memaklumkan bahawa laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat pada 23 Jun 2026 bagi membantu mengesan waris mendiang.
Sehubungan itu, Abd Kahar berkata, ahli keluarga, waris atau orang ramai yang mengenali mendiang diminta tampil segera bagi urusan tuntutan jenazah serta tindakan lanjut.
“Mereka boleh menghubungi Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth di talian 088-517555 sambungan 8285 untuk maklumat lanjut.
“Kerjasama orang ramai diharap dapat membantu mempercepatkan proses mengesan waris mendiang supaya urusan pengendalian jenazah dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.



