KOTA KINABALU: Seorang warga asing mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memasuki Sabah secara tidak sah dan menghalang pegawai imigresen dalam menjalankan tugasnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan semula kes Sueleyman @ Suleyman Kucekboga dan serahan dokumen bagi tujuan perbicaraan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memasuki Sabah tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di Jabatan Imigresen di Jalan UMS di sini pada jam 8.50 pagi, 27 April lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10, 000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sueleyman didakwa menghalang secara pasif seorang pegawai imigresen dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai penyiasat dengan enggan diambil rakaman percakapan bagitujuan siasatan di depot Imigresen di sini pada jam 4.30 petang, 5 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 56(g)(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 56(1)(aa) akta yang sama.
Peruntukan itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding terdahulu, mahkamah gagal merekodkan pengakuan tertuduh apabila dia bertegas mendakwa tidak memahami kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Seorang jurubahasa bahasa Jerman dari Kedutaan Jerman hadir membantu mahkamah dan telah beberapa kali menjelaskan pertuduhan dalam bahasa ibundanya, namun tertuduh tetap mendakwa tidak memahaminya.
Sementara menunggu kes selesai, mahkamah memerintahkan Kuecuekboga terus ditahan reman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


