KOTA KINABALU: Seorang penganggur yang sudah empat kali disabitkan kesalahan berkaitan syabu didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sama.
Tertuduh, Basrie Amil, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, Basrie didakwa memasukkan ke dalam badannya sendiri dadah berbahaya jenis methamphetamine pada 30 Jun lalu, kira-kira jam 2.40 pagi, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Pertuduhan turut menyatakan tertuduh mempunyai empat sabitan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 antara 2020 hingga 2025.
Bagi setiap sabitan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara antara lima hingga tujuh bulan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Bagi pertuduhan kali ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama.
Seksyen 39C(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan tidak melebihi tiga kali, jika sabit kesalahan.
Di bawah Seksyen 38B(1), tertuduh juga boleh diperintahkan menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



