HomeUtamaBangkit Sabahan 2.0 himpun 600 peserta, bawa mesej keamanan

Bangkit Sabahan 2.0 himpun 600 peserta, bawa mesej keamanan

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kira-kira 600 peserta daripada tujuh pertubuhan berdaftar menyertai Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 pada Sabtu bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri selain menzahirkan komitmen untuk terus mengekalkan keamanan, kestabilan dan pembangunan di Sabah.

Perhimpunan yang berlangsung berhampiran Dataran Deasoka, Bandaraya Kota Kinabalu itu bermula pada jam 1 tengah hari dan berakhir kira-kira jam 4 petang dalam keadaan aman serta terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Penasihat Bangkit Sabahan 2.0, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata himpunan berkenaan diadakan sebagai reaksi terhadap demonstrasi yang dianjurkan sebelum ini yang menurutnya membawa budaya politik konfrontasi yang tidak mencerminkan nilai masyarakat Sabah.

Katanya, rakyat Sabah sentiasa mengutamakan keharmonian dan perbezaan pendapat sewajarnya disalurkan menerusi proses demokrasi serta saluran undang-undang, bukannya demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Kita boleh berhimpun dan berdemonstrasi, tetapi persoalannya untuk apa. Mesej yang ingin kami sampaikan ialah rakyat Sabah mahukan keamanan dan kestabilan, bukannya politik yang membawa perpecahan.

“Kalau boleh, inilah perhimpunan terakhir kami kerana kita tidak mahu budaya demonstrasi jalanan menjadi kebiasaan di Sabah,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan itu.

Beliau berkata, Bangkit Sabahan 2.0 turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri kerana melihat pelbagai perkembangan positif termasuk peningkatan rizab kewangan negeri, pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan baharu dan pembukaan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, pelaburan seperti pembukaan kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) membuktikan usaha kerajaan negeri menarik pelaburan berjaya memberi manfaat kepada anak tempatan.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata pihaknya turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan tindakan terhadap beberapa kes yang menurutnya pernah dilaporkan sebelum ini.

“Kami telah mengemukakan memorandum yang merujuk kepada laporan terdahulu. Atas nasihat peguam, kami tidak boleh mendedahkan bukti atau butiran lanjut kerana tidak mahu menjejaskan proses siasatan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan penganjur demonstrasi sebelum ini memaparkan gambar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam poster kempen mereka.

“Kami tidak menghalang mana-mana pihak mendesak SPRM menjalankan siasatan jika mempunyai bukti. Tetapi kami mahu tahu apakah asas meletakkan gambar Tun Musa dan Hajiji dalam poster berkenaan,” katanya.

Sementara itu, perhimpunan aman Gempur Rasuah 3.0 yang diketuai Presiden Suara Mahasiswa, Fida Ahmad, bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan Kompleks Beli-Belah Suria Sabah, Bandaraya Kota Kinabalu, pada hari yang sama dilihat kurang mendapat sambutan apabila hanya disertai hampir 20 peserta.

Perhimpunan itu diadakan bagi menyuarakan tuntutan berkaitan isu rasuah dan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa.

Sepanjang kedua-dua perhimpunan yang berlangsung di lokasi berasingan itu, keadaan kekal aman dan terkawal tanpa sebarang insiden dilaporkan.

RELATED ARTICLES
Utama

SMJ 2.0 terus perkukuh pembangunan modal insan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular