HomeUtamaKepelbagaian etnik kukuhkan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya

Kepelbagaian etnik kukuhkan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Keunikan lebih 30 kumpulan etnik di Sabah menjadi kekuatan utama yang menjadikan negeri ini unik serta berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, kepelbagaian etnik di Sabah merupakan aset penting yang bukan sahaja memperkayakan identiti negeri, malah mengukuhkan perpaduan rakyat.

“Keunikan budaya, adat resam dan warisan yang dimiliki lebih 30 kumpulan etnik di Sabah merupakan antara daya tarikan utama yang membezakan negeri ini berbanding destinasi lain di rantau ini.

“Sabah amat bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian budaya yang hidup dalam suasana harmoni. Inilah kekuatan kita yang menjadi identiti dan kebanggaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Citra Budaya Kota Kinabalu ‘KK Culture On Stage 2026 di Lintasan Deasoka di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Joniston berkata, kepelbagaian budaya itu perlu terus dipelihara, diperkasa dan dipersembahkan secara kreatif supaya ia kekal relevan serta dapat dihayati oleh generasi muda dan juga pelawat dari luar negara.

Katanya, warisan budaya tidak boleh hanya dilihat sebagai tinggalan sejarah, sebaliknya perlu dijadikan aset dinamik yang mampu menyatukan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan dan industri kreatif.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa program berasaskan budaya seperti KK Culture On Stage 2026 memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kekayaan etnik Sabah kepada dunia melalui pendekatan persembahan yang lebih segar dan interaktif.

“Pelancong hari ini mahu merasai pengalaman sebenar, bukan sekadar melihat. Mereka mahu mengenali budaya, mencuba makanan tradisional dan berinteraksi dengan masyarakat setempat,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu juga selari dengan usaha memperkukuh imej Kota Kinabalu sebagai bandar raya budaya yang hidup dengan kepelbagaian etnik dan warisan. SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

Hampir 20,000 permohonan kuota tambahan BUDI Diesel diluluskan di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular