HomeUtamaInkues Zara: Tekanan interpersonal di sekolah dan asrama perlu dinilai serius

Inkues Zara: Tekanan interpersonal di sekolah dan asrama perlu dinilai serius

Read Time:2 Minute, 6 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mula berdepan beberapa tekanan interpersonal selepas memasuki sekolah menengah dan tinggal di asrama, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar, Dr Noor Aishah Rosli berkata, kemasukan Zara ke Tingkatan Satu di Sekolah agama di Papar merupakan satu fasa peralihan besar dalam hidupnya apabila beliau memilih untuk tinggal di asrama dan berjauhan daripada ibunya buat kali pertama.

Katanya, walaupun maklumat awal menunjukkan Zara mempunyai keterujaan untuk memulakan kehidupan baharu di sekolah menengah dan asrama, beliau kemudian mula berdepan beberapa tekanan interpersonal dalam persekitaran sekolah menengah dan asrama.

Menurutnya, tekanan itu termasuk isu hubungan dengan rakan sebaya, persepsi negatif daripada sesetengah pelajar, sindiran, pelabelan, isu berkaitan pelajar lelaki yang menyukainya, hubungan dengan senior, isu berkaitan barang hilang, serta teguran atau tekanan sosial daripada rakan dan pelajar lain.

“Dalam penilaian saya, faktor-faktor tersebut merupakan faktor situasional dan interpersonal yang perlu dinilai secara serius kerana ia berlaku dalam tempoh yang lebih hampir kepada kejadian berbanding isu-isu perkembangan awal Zara,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi ke-76 itu berkata, faktor-faktor situasional yang berlaku hampir kepada kejadian adalah penting untuk dinilai oleh Mahkamah kerana ia mungkin mempunyai kaitan yang lebih dekat dari sudut masa dan konteks berbanding isu-isu perkembangan awal atau catatan lama.

“Berdasarkan maklumat mengenai 14 hingga 16 Julai 2025, terdapat perubahan keadaan dalam tempoh hampir dengan kejadian, termasuk isu berkaitan barang hilang, pemeriksaan barang, Zara dilihat menangis atau murung oleh beberapa saksi, dan keadaan beliau yang berbeza daripada kebiasaannya.

“Walau bagaimanapun, perubahan emosi akut atau kesedihan dalam tempoh singkat tidak semestinya mencukupi untuk membuktikan niat membunuh diri yang stabil, melainkan disokong oleh bukti lain yang konsisten dan kukuh,” katanya.

Noor Aishah berkata, beliau turut mengambil kira bahawa Zara merupakan remaja awal berusia 13 tahun yang masih berada dalam fasa pembentukan identiti, kepekaan sosial, keperluan penerimaan rakan sebaya dan perkembangan regulasi emosi.

Katanya, sebarang tekanan sosial, sindiran, pelabelan atau konflik dengan rakan sebaya dalam persekitaran asrama perlu difahami dalam konteks kerentanan usia remaja awal, khususnya apabila individu tersebut berada jauh daripada sokongan harian ibu.

Beliau berkata, beberapa saksi yang mengenali Zara juga menyatakan mereka sukar mempercayai remaja itu akan mengambil tindakan menamatkan nyawa sendiri kerana Zara dikenali sebagai seorang yang ceria, aktif, kuat semangat, mempunyai cita-cita dan mempunyai banyak faktor perlindungan.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.

Inkues bersambung esok.

RELATED ARTICLES
Utama

Parlimen : Datasonic Technologies Kendali Kontrak Dokumen Keselamatan RM2.74 Bilion Dengan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular