KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel perlu terus diperhalusi dengan mengambil kira realiti geografi, corak pergerakan penduduk serta struktur ekonomi Sabah yang berbeza berbanding negeri lain.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pelaksanaan inisiatif itu merupakan langkah tepat bagi memastikan subsidi kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan.
Beliau berkata, usaha Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga diesel bersubsidi untuk pemilik kenderaan yang layak di Sabah wajar dihargai, termasuk beberapa penambahbaikan seperti peluasan kelayakan kepada pemilik kenderaan pikap dan jip tertentu, pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga serta pengecualian fi pertukaran hak milik.
Bagaimanapun, katanya, keluasan negeri dan jarak perjalanan yang jauh menjadikan penggunaan diesel di Sabah bukan sekadar untuk kegunaan harian, malah penting bagi kelangsungan kehidupan dan aktiviti ekonomi rakyat.
“Sabah merupakan negeri yang luas dengan jarak perjalanan antara daerah, bandar dan kawasan pedalaman yang jauh. Bagi sebahagian besar rakyat, perjalanan untuk mendapatkan rawatan, pendidikan, mengurus urusan kerajaan, menjual hasil pertanian atau mendapatkan bekalan keperluan asas boleh mengambil masa berjam-jam.
“Dalam keadaan ini, penggunaan diesel bukan sekadar untuk perjalanan harian, malah menjadi nadi kepada kelangsungan kehidupan dan aktiviti ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Nizam berkata, sektor pertanian, perikanan, pengangkutan, pembinaan, perusahaan kecil serta pelbagai aktiviti ekonomi luar bandar di Sabah masih bergantung kepada penggunaan kenderaan dan peralatan berasaskan diesel.
Sehubungan itu, beliau berharap kuota pembelian diesel bersubsidi dan syarat kelayakan sedia ada dapat dinilai secara berkala berdasarkan corak penggunaan sebenar rakyat di Sabah.
Menurutnya, pendekatan yang lebih fleksibel juga perlu dipertimbangkan khususnya bagi penduduk pedalaman, petani, nelayan dan pengusaha kecil, termasuk mereka yang menggunakan diesel untuk bot, generator serta keperluan ekonomi setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan kos pengangkutan akibat pelaksanaan subsidi bersasar berpotensi memberi kesan langsung kepada golongan belia yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.
Katanya, ramai belia di Sabah bergantung kepada kenderaan pikap dan pacuan empat roda untuk bergerak antara daerah, membawa peralatan, mengurus program komuniti, menjalankan perniagaan, menghantar hasil jualan, mengikuti latihan kemahiran serta menyertai aktiviti sukan dan ekonomi kreatif.
“Jika kos operasi meningkat, ia secara tidak langsung akan mengecilkan peluang mereka untuk berkembang dan menjana pendapatan,” katanya.
Beliau yakin sebarang isu yang timbul dapat ditangani melalui rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan mengambil kira pandangan rakyat, pemimpin setempat, persatuan industri serta komuniti luar bandar.
“Kita menyokong usaha kerajaan memastikan subsidi lebih bersasar. Namun, pelaksanaannya mestilah adil, praktikal dan mengambil kira keunikan Sabah agar tidak menambah beban kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
“Keperluan Sabah tidak boleh dinilai berdasarkan angka penggunaan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keluasan negeri, jarak perjalanan yang jauh, kekurangan pengangkutan awam serta kebergantungan ekonomi tempatan terhadap diesel,” katanya.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel dan bersedia membuat penyesuaian dari semasa ke semasa supaya matlamat membendung ketirisan subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kesejahteraan serta kelangsungan ekonomi rakyat Sabah.



