HomeUtamaKuota subsidi diesel wajar ditingkatkan untuk ibu tunggal, penjaja wanita - Mohina...

Kuota subsidi diesel wajar ditingkatkan untuk ibu tunggal, penjaja wanita – Mohina Ronnie

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran menilai semula pelaksanaan program BUDI Diesel dengan meningkatkan kuota subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya ibu tunggal, peniaga kecil dan usahawan wanita.

Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Mohina Ronnie Sidom, berkata walaupun kerajaan sudah mengambil langkah positif dengan meningkatkan kuota kepada 300 liter bagi kategori tertentu, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi.

Menurutnya, ramai pengguna yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk mencari rezeki masih berdepan kesukaran kerana kuota tambahan itu belum mencukupi untuk menampung keperluan harian mereka.

“Ramai ibu tunggal dan usahawan wanita di Sabah menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau van diesel untuk menjalankan perniagaan serta menghantar hasil pertanian, khususnya mereka yang berniaga di tamu.

“Keadaan geografi Sabah yang melibatkan perjalanan jauh, jalan luar bandar dan kos logistik yang tinggi memerlukan pendekatan dasar yang lebih fleksibel serta mengambil kira realiti kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohina berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian kuota tambahan berdasarkan keperluan sebenar pengguna dan bukan hanya berasaskan jenis kenderaan.

Katanya, pendekatan itu lebih adil serta dapat memastikan subsidi benar-benar disalurkan kepada golongan yang bergantung kepada diesel untuk menjana pendapatan keluarga.

“Ibu tunggal dan penjaja wanita bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri, malah memikul tanggungjawab menyara anak-anak serta keluarga.

“Beban kenaikan kos diesel memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik kenyataan Kementerian Kewangan yang akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel serta bersedia melakukan penambahbaikan berdasarkan maklum balas rakyat.

Menurutnya, suara wanita, khususnya ibu tunggal dan usahawan mikro, perlu diberi perhatian dalam proses penilaian dasar berkenaan.

“Wanita UPKO percaya dasar subsidi bersasar perlu sentiasa responsif terhadap keadaan semasa. Penambahan kuota kepada golongan yang benar-benar memerlukan bukan sahaja dapat mengurangkan beban kos sara hidup, malah membantu memastikan kelangsungan perniagaan kecil yang menjadi sumber pendapatan utama ramai wanita.

“Bantuan yang lebih bersasar akan memperkukuh ekonomi keluarga, meningkatkan daya tahan perusahaan mikro serta menyokong agenda pemerkasaan wanita, khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai cabaran logistik dan mobiliti berbeza berbanding negeri lain.

“Oleh itu, golongan wanita yang memenuhi kriteria sewajarnya diberikan pertimbangan khas agar tiada yang tercicir daripada manfaat subsidi bersasar,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

SKN terima kunjungan hormat Penasihat Teknikal Tenaga Ketua Menteri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular