HomeUtamaPerpustakaan Tanjung Aru perkasa literasi AI, pacu transformasi digital Sabah

Perpustakaan Tanjung Aru perkasa literasi AI, pacu transformasi digital Sabah

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Perpustakaan Tanjung Aru terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembelajaran abad ke-21 menerusi penganjuran Kursus Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) bagi memperkasa literasi digital masyarakat.

Kursus yang disertai 25 peserta daripada sektor awam dan swasta itu mencerminkan komitmen perpustakaan berkenaan dalam melengkapkan masyarakat dengan kemahiran teknologi yang semakin penting bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 serta era ekonomi digital.

Pengendali kursus, Teknologis Profesional Sabah, Ts. Gs. Mahadthir Asbollah berkata, program itu memberi pendedahan mengenai aplikasi kecerdasan buatan dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran, pendidikan, perniagaan dan pembangunan komuniti.

Menurutnya, peserta turut didedahkan kepada potensi AI dalam meningkatkan produktiviti, kecekapan kerja serta menggalakkan inovasi di tempat kerja.

“Program ini mendapat sokongan Kumpulan Yayasan Sabah selaras dengan aspirasi memperkasa pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar atas sokongan berterusan terhadap penganjuran program pembangunan kapasiti yang memberi manfaat kepada masyarakat Sabah,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Mahadthir berkata, kejayaan penganjuran kursus itu turut didorong komitmen Pegawai Perpustakaan Tanjung Aru, Mohd Azmi Dollen yang mengambil inisiatif merancang, menyelaras dan menjayakan program berkenaan.

Katanya, usaha itu termasuk mendapatkan tenaga pengajar berpengalaman bagi memastikan peserta menerima pendedahan yang berkualiti serta relevan dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, penganjuran kursus AI itu membuktikan perpustakaan masa kini bukan lagi sekadar pusat rujukan dan penyimpanan bahan bacaan, sebaliknya berkembang sebagai hab pembelajaran digital, inovasi dan pembangunan kemahiran.

“Melalui usaha berterusan seperti ini, Perpustakaan Tanjung Aru berpotensi menjadi antara institusi peneraju dalam memperkasa literasi kecerdasan buatan di Sabah.

“Ia sekali gus menyokong agenda transformasi digital negeri serta melahirkan masyarakat yang lebih celik teknologi, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

SKN terima kunjungan hormat Penasihat Teknikal Tenaga Ketua Menteri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular