KOTA KINABALU: Sebanyak sembilan Rang Undang-Undang (RUU) termasuk tiga RUU baharu akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung selama empat hari bermula 20 Julai ini.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, daripada sembilan RUU itu, tiga merupakan RUU baharu, manakala lima lagi melibatkan pindaan kecil termasuk satu RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026.
“Tiga RUU yang baharu ialah RUU Undang-Undang Perwarisan Orang Islam 2026, RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 dan RUU Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026.
“Sebanyak sembilan RUU akan dibahaskan di DUN, daripada jumlah itu, lima merupakan RUU pindaan, antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-Undang Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) (Pindaan) 2026 yang melibatkan pertukaran nama kementerian.

“Semua RUU yang dibawa ke DUN adalah penting, jika tidak mempunyai kepentingan, ia tidak akan dibentangkan untuk dibahaskan,” katanya kepada media ketika ditemui di DUN Sabah, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Kadzim turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap dan menggunakan masa perbahasan secara berhemah sepanjang persidangan berlangsung.
“Setakat ini, kualiti perbahasan di Dewan adalah baik dengan kebanyakan membangkitkan isu-isu yang bernas dan isi kandungan perbahasan yang berkualiti.
“Namun yang penting ialah patuhi peraturan tetap dan arahan Speaker, berhemah ketika berucap serta menghormati peraturan dan institusi Dewan,” jelasnya.
Beliau berkata setiap persidangan DUN Sabah boleh diikuti secara langsung menerusi siaran dalam talian bermula pukul 10 pagi pada setiap hari persidangan.



