BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Istana Nurul Iman, di sini pada Rabu.
Majlis itu turut dihadiri isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman dan isteri, Datin Siti Yuslaini Mohd Samsuri.
Terdahulu pada sebelah pagi, Hajiji dan isteri adalah antara tetamu khas yang menghadiri Majlis Istiadat Barisan Kehormatan Bagi Memperingati Hari Keputeraan Yang Ke-80 Kebawah DYMM Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali, sebelum menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Keputeraan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman.
Sepanjang lawatan rasmi itu, Hajiji turut menghadiri beberapa lagi acara istiadat rasmi yang telah diatur sempena sambutan berkenaan, termasuk Majlis Persantapan Sempena Hari Keputeraan Ke 80 Sultan BruneI, pada Khamis malam.
Sementara itu, Ketua Menteri dan isteri tiba di Brunei pada Selasa lalu, bagi mewakili Kerajaan Negeri Sabah dalam istiadat rasmi sempena sambutan berkenaan, sekali gus mencerminkan hubungan erat serta persahabatan yang sekian lama terjalin antara Sabah dan Brunei.



