TAWAU : Dua lagi premis di kawasan Kalabakan di sini dikenakan kompaun selepas gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penandaan harga.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, kompaun yang dikeluarkan dalam satu operasi pada Rabu itu dilaksanakan bagi memantau aktiviti perdagangan dan memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Hasil semakan di lokasi mendapati barangan yang dipamerkan untuk jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai sebagaimana diwajibkan.
“Perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” menurut kenyataan itu di sini.
KPDN berkata, setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna hendaklah dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat khususnya bagi barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan lain-lain lagi, bagi menjamin ketelusan urus niaga.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berulang, penalti boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
” Bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan seterusnya,” menurut kenyataan itu lagi.
KPDN Tawau akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan secara beretika dan mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.
Sebanyak 30 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) telah dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang telah diperiksa.



