KUALA LUMPUR : Cabaran pembangunan telekomunikasi di Sabah dan Sarawak memerlukan pemahaman mendalam daripada anak tempatan yang benar-benar mengetahui realiti geografi dan keadaan di lapangan.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, faktor geografi yang unik di kedua-dua negeri menyebabkan pelaksanaan infrastruktur komunikasi dan penyampaian perkhidmatan digital berdepan cabaran yang berbeza berbanding di Semenanjung.
“Keadaan ini hanya difahami oleh anak-anak kelahiran negeri kami, anak-anak tempatan yang mengerti tentang dimensi geografi yang luar biasa unik dan tersendiri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut beliau, pengalaman serta pengetahuan anak tempatan penting bagi memastikan setiap dasar dan keputusan berkaitan sektor komunikasi serta multimedia mengambil kira keperluan sebenar masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Matbali mencadangkan supaya kuota wakil dari Sabah dan Sarawak dipertimbangkan dalam keanggotaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan pandangan dari kedua-dua negeri disalurkan secara langsung dalam proses membuat keputusan.
Beliau berkata, penyertaan wakil dari Sabah dan Sarawak bukan sekadar memenuhi prinsip keterangkuman, malah mampu memperkayakan perspektif nasional dalam merangka dasar yang lebih menyeluruh.
“Negara yang kuat ialah negara yang mendengar semua suara, bukan hanya suara yang paling hampir dengan pusat pentadbiran,” katanya.
Dalam masa sama, Matbali menyambut baik Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 yang disifatkannya sebagai langkah tepat untuk memastikan MCMC terus relevan dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0, perkembangan ekonomi digital dan kemajuan teknologi masa depan.
Beliau berkata, pindaan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh fungsi badan pengawal selia komunikasi negara agar lebih bersedia menghadapi perubahan landskap digital yang semakin pesat.



