KOTA KINABALU : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang melibatkan beberapa kawasan di Sabah, dengan cuaca buruk dijangka berterusan sehingga jam 7 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan yang dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang meliputi Pedalaman, membabitkan daerah Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.
Selain itu, amaran turut melibatkan seluruh kawasan Pantai Barat, daerah Sandakan di Bahagian Sandakan serta kawasan Kudat.
MetMalaysia memaklumkan amaran tersebut dikeluarkan susulan tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (20 mm/jam) yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
Amaran ribut petir merupakan amaran cuaca jangka pendek yang sah bagi tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan cuaca semasa.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya penduduk di kawasan yang terlibat, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya hujan lebat, angin kencang dan kejadian seperti banjir kilat, pokok tumbang serta gangguan kepada aktiviti luar.
Pengguna jalan raya juga disaran memandu dengan berhati-hati ketika hujan lebat dan mengelakkan daripada berteduh di bawah pokok atau berada di kawasan terbuka semasa ribut petir.
Penduduk disaran mengikuti maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan oleh MetMalaysia dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.



