Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pakar perunding psikiatri memberitahu Mahkamah Koroner bahawa wujud asas kepercayaan antara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan ibunya.
Saksi ke-75, Dr Wong Haw Huo, yang meneruskan keterangannya dalam inkues itu, berkata asas kepercayaan tersebut dapat dilihat berdasarkan keterangan yang saling menyokong daripada pelbagai sumber.
“Kita dapat melihat hubungan yang kerap melalui mesej, perbualan lisan, rakaman audio dan hubungan fizikal, apabila Zara pulang ke rumah setiap hujung minggu untuk bertemu ibunya. Dia sentiasa menantikan peluang untuk pulang menikmati masakan ibunya.
“Dia juga masih menaruh harapan untuk cemerlang dan melakukan yang lebih baik dalam pelajaran di sekolah menengah. Pada masa yang sama, dia tidak cuba menyembunyikan apa-apa,” katanya ketika memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh peguam Shahlan Jufri.
Beliau berkata, Zara bersikap terbuka dan sentiasa berterus terang dalam perbualannya.
“Apa yang saya maksudkan ialah dia bersikap terbuka. Perbualannya sangat telus. Mengapa saya katakan demikian? Kerana berdasarkan klip audio yang kita dengar dalam prosiding sebelum ini, Zara bukan sahaja berkongsi tentang persekitaran sekolahnya.
“Zara sentiasa mendapatkan nasihat daripada ibunya dengan bertanya, ‘Bagaimana saya hendak lakukan ini? Bagaimana saya hendak lakukan itu?’ Dan ibunya sentiasa memberikan keyakinan serta meyakinkannya dengan berkata, ‘Kamu boleh lakukan ini.’
“Selain itu, Zara juga berkongsi sisi dirinya yang rapuh, termasuk bahawa dia ditekan, dipersendakan atau dituduh oleh beberapa individu atau pelajar senior di sekolah antara Mac hingga Jun, dan dia mendapatkan bantuan.
“Daripada situ, kita dapat melihat keterbukaan dan ketelusan maklumat yang berasaskan kepercayaan,” kata Dr Wong.
Dr Wong turut menjelaskan bagaimana beliau menilai catatan diari, rakaman audio dan video yang menunjukkan hubungan rapat antara Zara dengan ibunya, termasuk percanggahan yang wujud dalam sebahagian catatan diari.
“Untuk memahami percanggahan itu, kita perlu melihat keseluruhan gambaran, bukan hanya memberi tumpuan kepada beberapa catatan tertentu. Diari itu mengandungi lebih 100 halaman. Jika kita hanya melihat perkara negatif tanpa mengambil kira aspek positif, kita boleh membuat kesimpulan yang berat sebelah.
“Kita perlu melihat corak tingkah laku Zara secara keseluruhan, termasuk cara dia berinteraksi dengan penjaga utamanya iaitu ibunya dan bagaimana dia bertindak balas apabila berlaku perselisihan faham. Konflik seperti ini sebenarnya perkara biasa dalam kalangan remaja perempuan kerana perkembangan emosi dan otak mereka masih dalam proses pematangan.
“Remaja juga lazimnya bertindak balas mengikut emosi pada sesuatu ketika. Meluahkan perasaan dalam diari merupakan satu mekanisme daya tindak atau saluran untuk melepaskan rasa kecewa dan tidak puas hati yang dialami pada waktu tertentu.
“Namun, kita tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang mencetuskan konflik antara ibu dan anak ini. Apabila kita melihat keseluruhan bukti, kita dapat melihat wujudnya kepercayaan psikologi. Maksudnya, seseorang yang mempercayai orang lain sanggup menerima bukan sahaja perkara yang baik, malah teguran atau komen yang kurang menyenangkan daripada individu tersebut. Itulah yang dimaksudkan dengan kepercayaan,” katanya.
Prosiding inkues bersambung esok.
Zara, 13, ditemui di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025, manakala bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth pada 10 Ogos 2025.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa atas pertuduhan mencela Zara.



