HomeUtamaMRSM Ranau rangkul Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026

MRSM Ranau rangkul Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Kejayaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau dinobatkan sebagai Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan kecemerlangan pendidikan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pengiktirafan yang diterima sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 peringkat kebangsaan itu membuktikan kemampuan institusi pendidikan di negeri ini untuk bersaing di peringkat nasional.

Beliau berkata, anugerah tersebut diberikan susulan pencapaian cemerlang MRSM Ranau dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, selain meletakkan institusi itu sebagai MRSM terbaik di Borneo.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja kepada warga MRSM Ranau, malah kepada seluruh rakyat Sabah.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelaburan dalam pendidikan berkualiti mampu melahirkan generasi muda yang cemerlang, berdaya saing dan berpotensi menjadi pemimpin masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Badan Pemuafakatan Malaysia Cawangan MRSM Ranau yang diketuai Yang Dipertuanya, Pamela Joseph, bersama Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri dan rombongan di pejabatnya.

Masidi berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha berpasukan yang melibatkan kepimpinan sekolah, guru, pelajar, ibu bapa serta sokongan padu pelbagai pihak yang sentiasa komited memastikan kecemerlangan akademik dapat dikekalkan.

Beliau turut berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak institusi pendidikan di Sabah untuk terus memperkukuh prestasi akademik, pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada MARA kerana terus memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti, sekali gus melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Sementara itu, Ismail berkata, kejayaan MRSM Ranau menerima Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 serta berada dalam kelompok empat MRSM terbaik daripada 57 MRSM di seluruh negara merupakan hasil kerjasama erat semua pihak.

Beliau berkata, sokongan berterusan daripada kerajaan negeri, khususnya Masidi, telah memberi suntikan semangat kepada warga sekolah untuk terus meningkatkan prestasi dalam pelbagai bidang.

“Anugerah ini menjadi bukti bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kita mampu melakar kejayaan yang membanggakan. Ia juga menjadi motivasi kepada kami untuk terus mengekalkan budaya kecemerlangan demi melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Syarahan Naib Canselor UMS di New Zealand perkukuh kerjasama akademik Malaysia-Victoria...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular