HomeUtamaSyarahan Naib Canselor UMS di New Zealand perkukuh kerjasama akademik Malaysia-Victoria University...

Syarahan Naib Canselor UMS di New Zealand perkukuh kerjasama akademik Malaysia-Victoria University of Wellington

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh hubungan akademik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Victoria University of Wellington (VUW), New Zealand terus diperkasakan menerusi penganjuran syarahan khas yang disampaikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor di universiti berkenaan baru-baru ini.

Syarahan bertajuk “Bridging Asia and New Zealand: Trade, Global Disruptions, and the Human Capital Imperative for Future Economic Cooperation” itu dihadiri ahli akademik, penyelidik serta warga Fakulti Perniagaan dan Kerajaan VUW.

Dalam syarahannya, Kasim menegaskan institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan lebih besar sebagai pemangkin pembangunan bakat, inovasi dan penyelidikan bagi memperkukuh hubungan strategik antara Asia dan New Zealand, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata, landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar akibat perubahan geopolitik, transformasi digital dan peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi memerlukan kerjasama rentas sempadan yang lebih kukuh antara institusi pendidikan tinggi.

“Mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran merupakan antara pendekatan terbaik untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Universiti bukan sekadar pusat penyebaran ilmu, malah menjadi pemacu pembangunan modal insan yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kerjasama serantau serta antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkongsian ilmu menerusi syarahan tersebut menjadi platform penting untuk mempererat hubungan akademik antara Malaysia dan New Zealand melalui pertukaran pandangan mengenai perdagangan antarabangsa, impak gangguan global terhadap ekonomi dunia serta kepentingan pembangunan modal insan sebagai asas kepada kerjasama ekonomi masa hadapan.

Dalam sesi itu, Kasim turut berkongsi pengalaman UMS dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kolaborasi antarabangsa yang menyokong agenda pembangunan mampan serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Syarahan berkenaan turut disusuli sesi perbincangan dua hala antara delegasi UMS dan warga akademik VUW yang memfokuskan potensi kerjasama dalam bidang perniagaan, ekonomi, tadbir urus, inovasi, pembangunan modal insan serta penyelidikan berimpak tinggi.

Perbincangan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk memperluaskan kerjasama akademik yang mampu memberi manfaat kepada Malaysia dan New Zealand, selain memperkukuh jaringan penyelidikan serta pembangunan bakat di peringkat global.

Penganjuran syarahan itu melengkapkan siri lawatan rasmi UMS ke VUW yang turut menyaksikan pemeteraian Surat Niat (LoI) antara kedua-dua universiti sebagai asas kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.

Antara kerjasama yang dirancang termasuk program pertukaran pelajar dan staf akademik, penyelidikan bersama, latihan industri, pembangunan program akademik serta pengukuhan agenda pengantarabangsaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada warga kedua-dua institusi untuk memperluaskan jaringan dan kerjasama pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

MRSM Ranau rangkul Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular