MR DIY catat hasil RM2.56 bilion, untung bersih RM337.16 juta

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 59 Second

KUALA LUMPUR, 17 Feb — MR DIY Group (M) Bhd meraih hasil lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 yang menokok 13 peratus kepada RM2.56 bilion berbanding RM2.27 bilion dalam tempoh sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, peruncit perkakas dan keperluan rumah terbesar itu menyatakan keuntungan bersih turut melonjak kepada RM337.16 juta daripada RM317.56 juta sebelum ini.

Prestasi memberangsangkan itu berjaya dicapai walaupun terdapat penutupan cawangan pada Mac dan April 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat.

“Keseluruhan pertumbuhan bagi tempoh dalam kajian itu disumbangkan oleh prestasi kukuh dalam separuh kedua 2020 selain faktor seperti sumbangan cawangan baharu yang mengurangkan impak penutupan akibat PKP serta perbelanjaan membabitkan tawaran awam permulaan (IPO) yang lebih tinggi pada 2020,” katanya.

Bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Dis, 2020, perolehan hasilnya meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM768.33 juta berbanding RM617.13 juta, setahun lepas.

Keuntungan bersih pula menokok 19 peratus kepada RM108.26 juta daripada RM90.88 juta bagi tempoh 2019.

MR DIY juga menyifatkan keputusan kewangan suku keempat 2020 yang menggalakkan itu didorong oleh peningkatan purata jualan diraih setiap cawangan serta sumbangan jualan yang positif oleh cawangan baharu.

Bagi tahun tersebut, kumpulan itu menyaksikan pertumbuhan bersih sebanyak 141 premis merangkumi tiga jenama (MR DIY, MR TOY dan MR DOLLAR), lapan cawangan ditutup manakala 149 cawangan baharu dibuka yang meningkat kira-kira 24 peratus daripada tahun sebelumnya.

Ini membabitkan pembukaan cawangan baharu iaitu masing-masing 104 buah bagi MR DIY, 23 MR TOY dan 14 cawangan baharu MR DOLLAR.

 Setakat 31 Dis, 2020, kumpulan itu mempunyai sebanyak 734 cawangan merangkumi 683 bagi MR DIY, 37 MR TOY serta 14 untuk MR DOLLAR berbanding 579 kedai MR DIY dan 14 MR TOY pada 2019.

Kumpulan itu juga menyasarkan untuk membuka 175 lagi cawangan merangkumi semua jenama terbabit pada tahun ini.

Mengulas prospek masa depan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata kumpulan itu kekal komited terhadap usaha mempergiat pertumbuhan mampan menerusi langkah pertumbuhan strategik membabitkan rangkaian cawangan bagi ketiga-tiga jenama, meningkatkan jualan di kedai sedia ada serta mengembangkan perniagaan e-dagang.

Seiring dengan dasar pembayaran dividen kumpulan secara suku, MR DIY telah mengumumkan dividen awal sebanyak RM43.9 juta yang memaparkan kedudukan kewangan serta prestasi kukuh walaupun dalam persekitaran penularan pandemik COVID-19 yang mencabar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *