HomeUtamaSabah Benar Solat Jumaat Ikut Satu Pertiga Kapasiti

Sabah Benar Solat Jumaat Ikut Satu Pertiga Kapasiti

Read Time:2 Minute, 19 Second

Sabah membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau diperluaskan kepada satu pertiga daripada ruang solat bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kebenaran itu diberikan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selaras dengan pelaksanaan PKPB yang berkuat kuasa pada 19 Februari (hari ini), kerajaan negeri bersetuju membenarkan solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat di masjid dan surau dalam semua zon di Sabah.

“Kebenaran tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Awal bulan ini, kerajaan negeri membenarkan masjid dan surau di seluruh Sabah dibuka semula untuk solat waktu berjemaah dan solat Jumaat, tetapi masing-masing terhad kepada lima dan 45 jemaah.

Masidi berkata, selain membenarkan kapasiti jemaah yang lebih ramai, kerajaan negeri turut bersetuju membenarkan aktiviti di masjid dan surau seperti kuliah Maghrib dan dhuha dalam tempoh tidak melebihi satu jam setiap sesi.

“Aktiviti kelas agama juga dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Majlis akad nikah juga dibenarkan dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang dalam satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP, manakala jamuan makan dan minum dibenarkan dalam bentuk bungkusan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran ke masjid dan surau bagi golongan kanak-kanak masih dihadkan kepada yang berusia 10 tahun ke atas.

Pada masa sama, Masidi berkata, kerajaan negeri turut membenarkan aktiviti dan program keagamaan di rumah ibadat bukan Islam dengan kehadiran juga terhad kepada satu pertiga daripada kapasiti rumah ibadat.

“Kehadiran orang ramai di rumah ibadat perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan seperti merekodkan kehadiran penganut menggunakan aplikasi Mysejahtera, Sabahtraces atau mencatat kehadiran dalam buku log yang disediakan.

“Setiap rumah ibadat juga perlu menyediakan kaunter di pintu masuk dewan untuk pemeriksaan suhu badan dan memastikan pergerakan masuk ke dalam dewan mengikut giliran, memakai pelitup muka sepanjang masa dan kerap membersihkan tangan dengan pembasmi kuman.

“Penganut juga tidak dibenarkan berkumpul di kawasan lapang rumah ibadat termasuk bersalaman, berpelukan dan mengadakan aktiviti berjadual di dalam dan luar rumah ibadat seperti kelas keagamaan dan kebudayaan,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata negeri itu merekodkan sebanyak 114 kes positif baharu semalam, meningkat 20 kes berbanding 94 kes kelmarin.

Katanya, tiga kematian, iaitu dua di Tawau dan satu di Kinabatangan serta dua kluster baharu turut dilaporkan di Sabah semalam.

Kedua-dua kluster baharu itu, katanya, dilaporkan di Penampang dikenali sebagai Kluster Lot Satu dan Kluster Lot Tujuh, masing-masing membabitkan pekerja restoran di pekan Donggongon dan Jalan Pintas dengan sembilan dan lapan kes kumulatif setakat ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya