SD Plantation catat untung bersih RM1.2 bilion

Read Time:2 Minute, 15 Second

KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SD Plantation) mencatatkan prestasi kewangan amat memberangsangkan apabila meraih keuntungan bersih RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Pendapatan diraih syarikat perladangan itu dalam tahun dikaji melonjak lapan peratus kepada RM13.08 bilion, berbanding RM12.06 bilion tahun sebelumnya.

Prestasi positif yang dicatatkan SD Plantation tahun lalu sekali gus memperbaiki sama sekali kerugian bersih berjumlah RM200 juta yang dicatatkan dalam tahun kewangan sebelumnya.

SD Plantation dalam satu kenyataan berkata, prestasi kewangan yang dicatatkan bagi tahun kewangan 2020 disokong prestasi segmen huluan dan hiliran lebih baik tahun ke tahun.

“Segmen huluan kumpulan menikmati harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit lebih tinggi, manakala Sime Darby Oils (SDO) yang mewakili segmen hiliran, meraih manfaat daripada program transformasi perniagaannya yang sedang berjalan dengan peningkatan margin dan kos pengeluaran lebih rendah.

“Prestasi memberangsangkan SD Plantation turut disokong harga yang direalisasikan dan sumbangan lebih tinggi dari SDO, kesan kekurangan tenaga kerja di Malaysia dan cuaca melampau membabitkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh suku keempat tahun lalu, SD Plantation meraih untung bersih RM149 juta berbanding kerugian bersih RM58 juta yang dicatatkan pada suku sama 2019.

Ia dicapai selepas pendapatannya dalam suku itu melonjak kepada RM3.64 bilion, berbanding RM3.38 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Sepanjang 2020, harga MSM direalisasi berada pada RM2,532 satu tan, 23 peratus lebih tinggi berbanding RM2,063 satu tahun sebelumnya.

Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata harga minyak sawit yang lebih tinggi memberi manfaat kepada peserta industri selepas berdepan tahun-tahun paling mencabar dalam sejarah ekonomi global.

“Secara keseluruhannya, SD Plantation meraih prestasi kewangan yang jauh lebih baik tahun lalu dan kumpulan berharap ia akan berterusan pada tahun kewangan semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SD Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha, berkata walaupun kumpulan terus menangani cabaran tahun ini, keutamaan paling mendesak diberi perhatian adalah kebimbangan pihak berkepentingan terhadap Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk terus membuat pembaharuan, SD Plantation bertekad secara proaktif mengenal pasti sebarang jurang yang mungkin wujud dalam operasi kami dan untuk melindungi kesejahteraan dan keselamatan semua pekerja, terutama yang paling terjejas,” katanya.

Menuju ke hadapan, SD Plantation berkata, walaupun terdapat unjuran peningkatan MSM, kumpulan optimis tetapi berhati-hati dalam mencapai prestasi keseluruhan yang memuaskan tahun ini.

“Kumpulan akan terus fokus atas usahanya untuk mencipta lebih banyak nilai bagi pihak berkepentingan dengan terus memacu peningkatan operasinya dan meningkatkan keseimbangan sumbangan keuntungan antara segmen huluan dan hiliran pada 2021,” katanya.

SD Plantation mengisytiharkan dividen keseluruhan 9.44 sen sesaham bagi tahun kewangan 2020 berbanding 1.00 sen sesaham pada 2019.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *