HomeEkonomiSokong pertanian berkualiti, lindungi petani tempatan - Jamawi

Sokong pertanian berkualiti, lindungi petani tempatan – Jamawi

Read Time:1 Minute, 39 Second

PAPAR: Usaha memperkasa amalan pertanian berkualiti melalui pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) perlu diperluaskan bagi menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan nilai hasil tempatan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan pengusaha tanaman fertigasi dan hidroponik, Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang di sini yang memperoleh pensijilan MyGAP wajar dijadikan contoh kepada pengusaha lain.

Menurutnya, pensijilan itu membuktikan hasil pertanian yang dihasilkan mematuhi syarat ketat termasuk penggunaan bahan kimia minimum serta kaedah mesra alam.

“Ini bermaksud hasil daripada ladang ini mematuhi amalan pertanian yang baik, termasuk penggunaan racun kimia yang terkawal, lebih mesra alam dan selamat untuk dimakan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan, pada Isnin.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diperluaskan dan dijadikan penanda aras kepada pengusaha lain di Sabah.

“Kita juga perlu mendidik masyarakat supaya memilih sumber makanan yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian atau kementerian,” katanya.

Jamawi berkata, langkah itu penting dalam membina kesedaran pengguna terhadap kepentingan kualiti dan keselamatan makanan.

“Ia merupakan proses berterusan untuk mendidik masyarakat agar lebih menghargai kualiti serta hasil pertanian premium,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong usaha pengusaha tempatan termasuk dalam sektor hidroponik dan fertigasi.

“Saya bercadang untuk menghimpunkan lebih ramai penggiat serta pengusaha hidroponik dan fertigasi di Sabah bagi mengadakan sesi libat urus,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu mampu membantu memasarkan hasil pertanian pada harga lebih baik berbanding kaedah tradisional.

Mengulas lanjut, beliau berkata aspek biosekuriti turut diperkukuh bagi melindungi industri pertanian tempatan.

“Kita telah memperketatkan penguatkuasaan biosekuriti, khususnya terhadap hasil pertanian yang diimport,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih berlaku aktiviti penyeludupan produk pertanian yang menjejaskan pasaran tempatan.

“Terdapat lambakan hasil pertanian import pada harga murah yang memberi kesan kepada pendapatan petani tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa termasuk Kastam, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin serta Polis Diraja Malaysia bagi membendung kegiatan berkenaan.

Katanya, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan kualiti makanan terus terjamin di samping melindungi pendapatan petani tempatan di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkasa modal insan, fokus generasi muda luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular