Kenyataan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu meneruskan kerjasama dengan BERSATU di negeri itu perlu disambut baik dan dicontohi semua pihak.
Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan menyifatkan ia sebagai satu komitmen dari UMNO Sabah yang mahu terus memajukan negeri dan memastikan urusan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.
Untuk rekod UMNO Sabah bekerjasama dengan BERSATU negeri menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September tahun lalu.
“BERSATU Sabah cukup yakin dengan kepimpinan Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dapat membawa satu kemajuan yang dimahukan oleh Rakyat Sabah dapat dikecapi. Fokus utama kerajaan GRS adalah untuk memastikan segala perancangan untuk Rakyat dapat di segerakan.
“Faktor utama negeri Sabah masih tidak dapat mengecapi kejayaan seperti yg diharapkan adalah disebabkan sering kali bertukar kerajaan. Maka dengan itu, sudah tiba masanya perjuangan untuk rakyat menjadi agenda utama di dalam pentadbiran kerajaan GRS.
“Hubungan di antara parti parti yang lain di bawah payung GRS akan sentiasa di pelihara keharmonian supaya fokus utama kerajaan untuk mentadbir negeri dapat berjalan dengan lancar dan efektif,” ujarnya.
Kenyataan Khairul Firdaus menyusul selepas Bung pada kelmarin menegaskan UMNO Sabah tidak akan mengikut pendirian UMNO Pusat yang memutuskan kerjasama dengan BERSATU.
Ia berikutan UMNO, menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat keputusan memutuskan kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PRU15.
Malah Majlis Tertinggi UMNO juga diberi mandat oleh para perwakilan untuk menentukan tarikh menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).