HomeUtamaAgong berkenan terima panggilan telefon Presiden Turki

Agong berkenan terima panggilan telefon Presiden Turki

Read Time:2 Minute, 43 Second

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara. 

Menurut kemas kini terbaharu di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan ketetapan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia untuk bersama Turki dan komuniti antarabangsa mengecam pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.

Dalam perbualan telefon selama 20 minit bermula pukul 6 petang itu, Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincang isu keganasan Israel terhadap Palestin.

Selain itu Al-Sultan Abdullah turut menyentuh tentang hubungan dua hala yang erat terjalin selama ini di antara Malaysia dan Turki serta usaha-usaha pengukuhan perdagangan  antara kedua-dua negara.

Seri Paduka Baginda  dan Erdogan pada masa yang sama turut bertukar ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk kepada ahli keluarga.

Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada Erdogan atas jemputan mengadakan Lawatan Negara ke Turki pada September tahun ini.

Sebelum ini Al-Sultan Abdullah dijadualkan mengadakan Lawatan Negara ke Turki selama lima hari bermula pada 19 April 2020, namun terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Mengikut rekod kali terakhir Seri Paduka Baginda berkenan berbual bersama Erdogan menerusi panggilan telefon ialah pada 6 Jun tahun lalu di Istana Negara dan Al-Sultan Abdullah sebelum itu juga  berkenan  menerima menghadap pemimpin berkenaan di Istana Negara pada 18 Dis 2019 sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Terdahulu pada pukul 3 petang, Al-Sultan Abdullah berkenan membuat panggilan telefon secara peribadi kepada Presiden Indonesia Joko Widodo bagi menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada keluarganya serta seluruh rakyat Indonesia.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada pemimpin itu dan seluruh keluarga mangsa kapal selam KRI Nanggala 402 susulan tragedi kemalangan yang menimpa kapal  itu  pada 21 April di utara perairan Bali, Indonesia.

Menerusi panggilan itu Joko Widodo juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan yang diberi dalam usaha mencari dan menyelamat kapal selam itu selain merakamkan ucapan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda atas doa dan sokongan kepada seluruh rakyat Indonesia. 

Selain itu kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan berkenaan usaha memerangi penularan COVID-19 di kedua-dua negara termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan merentas daerah serta negeri yang juga dilaksanakan di Indonesia.

Dalam perbualan itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar hubungan dua hala dan kerjasama di antara kedua-dua negara akan kekal erat dan terus utuh walaupun berhadapan dengan kekangan situasi COVID-19.

Kali terakhir pertemuan di antara Seri Paduka Baginda  bersama Presiden Indonesia itu ialah pada Ogos  2019 bersempena lawatan negara ke Indonesia selama empat hari bermula 26 Ogos yang merupakan  lawatan sulung Al-Sultan Abdullah setelah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah sinonim dengan perpaduan, keharmonian dalam meraikan perayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular